Pemain import baharu Pahang, Adam Reed menegaskan pasukannya masih mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan pasukan lain, walaupun selepas kehilangan Matthew Davies.
Pemain Filipina berusia 28 tahun itu mengakui beliau hanya sempat bertemu Matthew pada tempoh yang singkat, namun selepas pemain itu berhijrah ke JDT, Adam percaya Pahang masih boleh mendapat keputusan yang baik pada musim ini.
“Bagi saya ketiadaan Matthew Davies pada saat akhir juga tidak menjejaskan persiapan skuad kerana kami sedia memberikan yang terbaik musim ini,” katanya kepada Arena Metro.
“Saya hanya sempat beberapa kali menjalani latihan bersama Davies. Tapi dengan pemain sedia ada, skuad ini tetap berada pada prestasi meyakinkan.”
Menjelang pertemuan dengan Selangor pada Sabtu ini, Adam sedar pasukannya bakal menghadapi perlawanan yang cukup mencabar.
“Sebenarnya saya tahu pertemuan dengan Selangor Sabtu ini dijangka sengit dan saya dan rakan sepasukan sudah bersedia dan mempamerkan prestasi terbaik.
“Sebagai pemain baharu dalam pasukan, saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan Pahang menlakar kejayaan musim ini.”
Selain Reed, Pahang turut diperkuatkan dengan empat pemain import iaitu Dickson Nwakaeme, Herold Goulon, Ivan Carlos dan Khalil Khamis.