Malaysia Berita

Isu Tunggakan Gaji Tak Ganggu Semangat Pemain

Setelah dilaporkan gagal membayar gaji pemain musim lalu, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sekali lagi terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain musim ini.

Perlis yang bermain di Liga Perdana tewas pada perlawanan pertama menentang UKM, Ahad lalu bakal turun pada perlawanan kedua liga menentang UiTM hari ini.

Biarpun bergelut dengan masalah tunggakan gaji. Bagi pengendali pasukan Singa Utara, Manzoor Azwira Abd Wahid enggan memberi komen yang lebih terhadap situasi yang melanda pasukan terbabit.

 

Bagaimanapun, beliau memuji sikap para profesional pemainnya yang tetap bersemangat dalam memburu mata pertama.

Bercakap kepada Berita Harian, Manzoor menjelaskan, “kami akan buktikan di atas padang nanti. Saya tidak mahu mengulas apa-apa. Kita tunggu perlawanan malam esok dan selepas itu kita lihat bagaimana,”

Selain pada itu, Berita Harian melaporkan bahawa kesemua pemain Perlis tetap turun padang menjalani latihan seperti biasa di Arena Universiti Malaya (UM).

Ketiadaan bekas tonggak tengah Kelantan, Badhri Radzi dilaporkan adalah kerana beliau masih berada di Kota Bahru dan difahamkan sedang mendapat rawatan disana.

Melalui sumber terdekat Berita Harian, para pemain dilaporkan tetap bersemangat untuk mencari tiga mata penuh selepas tewas pada perlawanan pertama.

Jelasnya, biarpun situasi tunggakan gaji ini dilaporkan seperti menganggu keharmonian pasukan, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila tiada pemain yang ponteng pada sesi latihan dan fokus pada perlawanan akan datang.

“Sejak mula latihan dua bulan lalu, semua pemain tidak pernah ponteng dan sekalipun isu dikhabarkan bertambah buruk, pemain tetap bersemangat untuk menjalani latihan.

“Saya akui belum menerima gaji namun semuanya dalam keadaan baik dan kami serahkan kepada pengurusan untuk mencari langkah yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini,” katanya kepada Berita Harian.

PFA diberi masa 15 hari.

Masalah tunggakan gaji pemain Perlis telah memaksa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) campur tangan.

Pihak MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menyatakan bahawa PFA diminta untuk mengemukakan dokumen kewangan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam tempoh 15 hari.

Dalam masa yang sama MFL memberi peluang kepada pasukan Perlis untuk menjelaskan situasi sebenar yang membelengu persatuan terbabit.

“Kita sudah memaklumkan kepada PFA sebagai satu peringatan yang 15 Februari ini adalah tarikh di mana kita sebagai sekretariat akan mengemukakan laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi keadaan semasa PFA untuk tindakan susulan.

“Jadi kita bukan sahaja berdepan isu membabitkan PFA tetapi semua pasukan yang mengalami masalah di dalam proses pendaftaran mereka yang berkait dengan kelewatan bayaran-bayaran sepatutnya.

“Untuk makluman, kita sentiasa berhubung dengan kesemua pasukan, mengikuti perkembangan dan cuba memahami isu dihadapi satu-satu pasukan yang dikendalikan pengurusan baharu,” katanya.