Malaysia Berita

Bila muncul juara ada tak Liridon puji dia? – B Sathianathan

Pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi menjadi bualan ramai penyokong bola sepak Malaysia ekoran memuat naik satu status di Instagram Stories yang mengecam bekas ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adha.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menganggap tindakan tersebut adalah tidak wajar malah pemain berasal dari Kosovo sebenarnya tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan sedimikian.

Malah, pengendali Felda United itu juga melontarkan persoalan dimanakah ‘Mat Don’ ketika pasukan mereka muncul juara. Adakah dia memuji ketua jurulatihnya itu?

“Bila muncul juara ada tak Liridon puji dia (Nidzam)? Ketika menang pemain dianggap handal, bila kalah saja jurulatih (dianggap) bodoh, jurulatih bukan dapat pujian tapi pemain yang dapat pujian.”

“Liridon kena tanya dulu kenapa Nidzam tinggalkan mereka, kalau Nidzam tinggalkan pasukan bersebab, jadi nak salahkan pengurusan ke nak salahkan jurulatih?”

“Orang juga boleh tanya, Liridon ketika lawan Kelantan mendapat banyak peluang tapi kenapa dia tidak jaringkan gol? Semua pihak termasuk pasukan dan pengurusan perlu memikul tanggungjawab bersama ketika pasukan kalah,” katanya.

Beliau juga beranggapan bahawa jika Nidzam Adha masih lagi berperanan sebagai ketua jurulatih, Liridon akan menjadi pemain yang akan dikeluarkan kerana tidak patuh kepada arahan.

“Dalam keadaan seperti ini, jika anda masih lagi jurulatih, orang (pemain) yang pertama dikeluarkan adalah mereka yang tidak ikut cakap.”

“Bagi saya setiap masalah dalam pasukan perlu dibincangkan dulu, jangan luahkan di media. Ia juga tidak baik untuk pengurusan Kedah,” katanya.