Malaysia Berita

Nik Akif Syahiran: Menjadi impian saya bermain di luar negara

Beberapa kelab daripada Malaysia dan sebuah kelab daripada Thailand dilaporkan menunjukkan minat terhadap pemain muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Musim ini menyaksikan pemain berasal dari Kuala Krai ini mula menjadi kesebelasan utama The Red Warriors selain daripada beraksi cemerlang dalam kejohanan Piala AFF B-19 di Surabaya, Indonesia bulan lalu.

Selain daripada tersenarai dalam aksi Sukan Asia 2018 lalu, Nik Akif juga mendapat panggilan skuad senior oleh Tan Cheng Hoe bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antabangsa pada awal September ini.

Mengulas mengenai tawaran daripada beberapa kelab yang menunjukkan minat terhadapnya, Nik Akif menjelaskan bahawa menjadi impian beliau untuk bermain di luar negara.

“Jika tawaran sesuai, terutama daripada kelab Thailand, saya sedia meninggalkan Kelantan kerana memang menjadi impian saya bermain di luar negara.”

“Begitu pun, segala-galanya bergantung pada majikan saya, KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) sama ada sedia melepaskan saya atau tidak kerana saya masih mempunyai kontrak bersama mereka selama dua tahun lagi,” kata Nik Akif.

Beliau yang baru sahaja pulang daripada saingan Sukan Asia 2018 tidak mahu terlalu memikirkan berkenaan perpindahan tersebut kerana ingin memfokuskan kepada baki perlawanan Piala Malaysia bersama Kelantan.

Kelantan masih lagi berpeluang melayakkan diri ke saingan suku akhir namun perlu mengalahkan MIFA dan Kedah dengan mengambil peluang bermain di halaman sendiri.

“Peluang masih ada dengan syarat kami kalahkan MIFA, esok dan Kedah pada perlawanan terakhir sambil mengharapkan pasukan lain mencapai keputusan negatif. Saya harap kami dapat memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk kedua-dua perlawanan itu.”

Selain itu, beliau juga mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang menyenaraikannya untuk menyarung jersi kebangsaan dan mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Pada masa sama saya mahu membalas kepercayaan jurulatih, Tan Cheng Hoe yang menyenaraikan saya dalam skuad kebangsaan. Saya akan memberikan prestasi terbaik dalam latihan dan cuba mendapatkan tempat dalam senarai terakhir,” kata Nik Akif yang akan melaporkan diri bersama pelatih lain pada Isnin depan.