Luar Negara Piala Dunia 2018

Mbappe adalah Pele baharu

Kylian Mbappe yang menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Argentina 4-3 meletakkannya sebaris dengan legenda bola sepak, Pele.

Dua jaringannya menyaksikan beliau muncul pemain termuda menjaringkan dua gol dalam perlawanan Piala Dunia sejak legenda Brazil, Pele melakukannya pada 1958.

Sebelum perlawanan, jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli meluahkan rasa kebimbangannya mengenai kepantasan yang dimiliki jentera serangan Perancis dan ia terbukti apabila Mbappe berlari mengejar bola dari kawasan tengah padang sebelum beliau dijatuhkan oleh Marcos Rojo untuk penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann.

Sekalipun rakan sepasukan Mbappe di PSG, Angel Di Maria menyamakan kedudukan pada minit ke-41 malah Argentina sempat mendahului pada awal babak kedua menerusi tampanan Gabriel Mercado susulan rembatan Messi yang mungkin satu-satunya sumbangan besar bintang Barcelona itu pada perlawanan berkenaan, ia tidak menghalang Perancis untuk bangkit.

Selepas pertahanan Benjamin Pavard menyamakan kedudukan, dua gol Mbappe pada minit ke-64 dan 68 seolah-olah terus membunuh semangat Argentina untuk bangkit dari ketinggalan.

Malah, Pele sendiri mengucapkan tahniah kepada Kylian Mbappe setelah bintang Perancis berkenaan mengatasi rekod Piala Dunia tersebut yang sudah berusia 60 tahun.

Mbappe, 19, muncul pemain remaja pertama menjaringkan lebih daripada satu gol dalam kempen Piala Dunia sejak Pele menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir yang menyaksikan Brazil menewaskan Sweden pada 1958.

Meskipun menyinar di peringkat kelab bersama Monaco dan Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe akhirnya membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa.

Melihatkan itu, Pele menunjukkan kebanggaannya terhadap Mbappe setelah mengesahkan statusnya sebagai salah seorang bakat muda paling menyerlah di Piala Dunia kali ini.

“Tahniah, Kylian Mbappe,” tulis Pele di Twitter.

“Dua gol dalam Piala Dunia pada usia begitu muda meletakkan anda dalam kelas tersendiri!

“Semoga berjaya dalam perlawanan yang lain, kecuali dengan Brazil!”