Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 24 Jun 2018

Setakat ini, terdapat beberapa pasukan yang telah mengorak langkah dalam membawa masuk pemain baru dan melepaskan pemain yang tidak diperlukan. Ada proses yang berjaya dan ada juga yang gagal diselesaikan.

Sebagai contoh, perpindahan Nabil Fekir dari Olympique Lyon ke Liverpool telah membuatkan pengendali, Jurgen Klopp, terpaksa memikirkan nama lain bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan Philippe Coutinho sejak Januari lalu. Justeru, berikut adalah senarai lima transfer rumour pilihan pada hari ini.

Marco Asensio

Liverpool dilaporkan berhasrat untuk mendapatkan khidmat pemain muda sensasi Real Madrid ini. Spekulasi itu wujud selepas Los Blancos didakwa bersedia melepaskan pemain sayap Sepanyol itu bagi memberi laluan untuk Neymar hadir ke Santiago Bernabeu. Bagaimanapun, keputusan itu diikuti dengan tanda harga yang tidak murah, apabila Real Madrid dikatakan akan menerima bidaan yang tidak kurang daripada GBP158 juta.

Ivan Rakitic

Pemain tengah Croatia ini mencipta sensasi baru-baru ini sewaktu pasukan negaranya menewaskan Argentina 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan Piala Dunia 2018. Baru-baru ini, namanya muncul dalam senarai pemain yang dikehendaki Jose Mourinho bagi memperkuatkan Manchester United. Bagaimanapun, cubaan untuk membawa tonggak Barcelona itu ke Old Trafford mencetuskan rasa gusar dalam kalangan penyokong The Red Devils kerana tidak pasti sama ada ia satu mampu menjadi pembelian yang berbaloi atau tidak.

Luka Modric

Satu lagi transfer rumour melibatkan pemain dari Croatia. Pemain tengah Real Madrid ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United pada musim panas ini. Selepas meraih tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah dalam masa empat tahun, Modric mungkin menginginkan cabaran baru. Pada 2011, Sir Alex Ferguson pernah mencuba untuk mendapatkan khidmatnya.

Daniel Rugani

Benteng muda skuad Juventus ini telah menarik perhatian Chelsea. Susulan khabar angin mengatakan Maurizio Sarri akan mengambil-alih tempat Antonio Conte, bekas pengendali Napoli itu mula menyenaraikan pemain yang ingin dibawa ke Stamford Bridge. Bagaimanapun, wujud laporan di Itali bahawa tawaran dari The Blues bernilai EUR30 juta telah ditolak oleh Bianconeri.

Kostas Manolas

Sebelum ini, Arsenal menjadi antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan AS Roma ini. Pemain Greece itu muncul selaku salah satu bek tengah terbaik di Eropah sejak tiba ke saingan Serie A dari Olympiakos, empat tahun lalu. Kini, Chelsea dikatakan telah memintas The Gunners dalam perebutan mendapatkan khidmatnya apabila membayar klausa perpindahan bernilai GBP34 juta.