Piala Dunia 2018 Santai

Piala Dunia 2018: Lima negara yang mampu memberi kejutan di Rusia

Dalam setiap saingan Piala Dunia, sering wujud oasukan yang beraksi di luar dugaan sehingga memadamkan jangkaan orang ramai. Daripada sekadar pelengkap jadual, mereka mampu menumbangkan pasukan gergasi seperti apa yang dilakukan oleh Bulgaria (1994), Croatia (1998), Korea Selatan dan Turki (2002), Ukraine (2006) serta Costa Rica (2014).

Untuk edisi tahun 2018 ini, terdapat beberapa pasukan yang dijangka mampu mengulangi kisah kejutan itu. Berbekalkan aksi mengagumkan ketika saingan kelayakan dan juga kualiti pemain-pemain yang dimiliki, negara-negara ni dilihat mampu melangkah jauh di Russia. Berikut adalah pasukan-pasukan yang mampu menjadi ‘kuda hitam’ di Piala Dunia 2018.

Croatia

Jika melihat senarai pemain, Croatia berpeluang cerah untuk mencipta kejutan kedua dalam sejarah Piala Dunia mereka. Nama-nama seperti Danijel Subasic, Dejan Lovren, Ivan Perisic, Luka Modric sehingga Mario Mandzukic membuatkan Vatreni begitu ampuh di barisan depan. Jika mampu tampil konsisten, Croatia akan boleh melangkah jauh di Russia.

Poland

Orang ramai sering menganggap bahawa Poland hanya berkisarkan tentang Robert Lewandowski semata-mata. Sebenarnya, jika dilihat dengan teliti, mereka dibarisi oleh pemain yang beraksi cemerlang di arena antarabangsa seperti Wojciech Szczesny, Arkadiusz Milik sehingga Lukasz Piszczek. Berbekalkan pencapaian pasukan serta jumlah gol yang hebat di peringkat kelayakan, Poland mampu mengulangi kejayaan di Piala Eropah 2016, dimana mereka sampai ke peringkat suku akhir.

Colombia

Dalam Piala Dunia empat tahun lalu, Colombia telah membuatkan Brazil bergelut di depan penyokong sendiri sehingga akhir perlawanan. Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa barisan benteng Brazil tidak pernah begitu sibuk seperti yang dicetuskan oleh Colombia, sehingga Selecao terpaksa mengharapkan situasi bola mati untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir. Kembalinya Radamel Falcao ke prestasi terbaik dan kematangan James Rodriguez membuatkan Colombia memiliki senjata utama untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Serbia

Cukup berisiko untuk meletakkan nama Serbia dalam senarai ini memandangkan Piala Dunia 2018 adalah kejohanan utama pertama mereka dalam lapan tahun terakhir. Namun, mereka tidak boleh dipandang remeh. Serbia telah diperkuatkan oleh barisan pemain daripada skuad emas yang menjuarai Piala Dunia B-20 pada 2015 dan ia terbukti hebat ketika kelayakan. Berbekalkan nama seperti Nemanja Matic, Sergej Milinkovic-Savic sehingga Aleksandar Mitrovic, Sang Helang Balkan bersedia untuk terbang tinggi di Russia.

Uruguay

Sejak menjuarai Copa America 2011, perlahan-lahan prestasi La Celeste merosot. Namun catatan hebat ketika kelayakan menjadi bukti bahawa Uruguay telah kembali ke landasan kemenangan. Nama-nama senior seperti Fernando Muslera, Luis Suarez, Diego Godin sehingga Edinson Cavani telah membentuk gandingan mantap bersama tenaga muda seperti Lucas Torreira dan Jose Gimenez. Russia 2018 adalah medan untuk mereka kembali ke tempat asal, iaitu sebagai pasukan gergasi dalam kejohanan.