Piala Dunia semestinya menjadi hasrat terakhir buat pemain bola sepak.
Tujuan itu hanya mahu dilakukan untuk membela pasukan negara mereka menjadi yang terbaik di dunia. Namun, terdapat banyak pemain terbaik di dunia ketika ini masih belum dapat menikmati aksi itu. Ada yang disebabkan masalah kecederaan, tidak dipanggil pengurus atau pasukan kebangsaan mereka tidak menyertai saingan.
Untuk Piala Dunia 2018, sesetengah pemain akan menjalani debut di pentas itu. Kami telah mengumpulkan 11 nama terbaik untuk dijadikan sebuah pasukan. Wujud pemain yang sudah memasuki usia 32 tahun dan ada juga yang akhirnya membawa pasukannya ke Piala Dunia setelah sekian lama. Berikut adalah senarai pemain-pemain itu:
Alisson Becker
Alisson tampil luar biasa bersama AS Roma pada musim 2017/18. Dia membawa pasukannya layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah. Malah, dia juga mengatasi Ederson untuk menjadi penjaga gol nombor satu Brazil dan paling direbutkan dalam jendela perpindahan ketika ini. Alisson akan membawa prestasinya itu ke Piala Dunia pertamanya.
Samuel Umtiti
Umtiti adalah salah seorang pertahanan berkaki kiri yang terbaik ketika ini. Dia melalui karier bersama salah sebuah kelab terbaik di dunia dan kini mewakili skuad utama Perancis yang luar biasa. Walaupun masih muda, pengalaman Umtiti mampu mengatasi pemain senior.
Medhi Benatia
Penghijrahan Leonardo Bonucci dari Juventus telah membuka jalan buat Benatia. Dia membuktikan kemampuannya sebagai salah satu bek terbaik dunia dan kini berjuang untuk mengharumkan nama Maghribi di Piala Dunia pertama.
Joshua Kimmich
Ramai mungkin tidak sedar bahawa Kimmich baru berusia 23 tahun. Dia memulakan karier di bahagian tengah tetapi berjaya menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Philip Lahm di Bayern Munich dan Jerman selaku pemain bek kanan terbaik. Kimmich akan membuktikan kemampuannya di Piala Dunia pertama.
Nemanja Matic
Matic adalah salah satu pemain tengah bertahan terbaik di dunia. Pada usia yang memasuki 29 tahun, dia akan melalui Piala Dunia pertama bersama Serbia. Persembahannya patut dinantikan di peringkat antarabangsa.
N’Golo Kante
Salah satu late-bloomer Perancis ini akan melalui Piala Dunia pertama pada usia 27 tahun. Kemampuan Kante telah terbukti di peringkat kelab apabila menjuarai Liga Perdana Inggeris dua tahun berturut-turut bersama Leicester City dan Chelsea. Kini, tiba masanya untuk dia membuktikan kebolehan bersama negara.
Marco Reus
Reus menjadi salah seorang pemain yang paling kecewa akibat kecederaan. Dia terlepas Piala Dunia 2014 dan Piala Eropah 2016 kerana kecederaan yang dialami. Namun, kini dia bersedia membawa negaranya mempertahankan trofi Piala Dunia dalam penampilan pertama di pentas itu bersama Jerman.
Mohamed Salah
Selepas menjalani musim yang menakjubkan sehingga disebut-sebut sebagai pemain terbaik dunia, Salah bersedia untuk membawa Mesir berjaya di Piala Dunia. Diharapkan dia sempat pulih dan membawa prestasi di Liverpool ke Piala Dunia pertamanya.
Isco Alarcon
Selepas era Xavi dan Andres Iniesta berakhir, Sepanyol dilihat tidak perlu risau kerana mempunyai perancang hebat seperti Isco. Pemain Real Madrid ini perlu tampil dengan aksi terbaik di Piala Dunia untuk membuktikan dia benar-benar mampu menggantikan seniornya.
Robert Lewandowski
Hampir mencecah usia 30 tahun, Lewandowski akhirnya akan menyertai Piala Dunia selepas Poland mengesahkan tempat. Kelibatnya selaku penyerang terbaik di dunia akan dinantikan di Russia nanti.
Radamel Falcao
Falcao bernasib sama seperti Reus. Dia terlepas edisi sebelumnya kerana kecederaan walaupun menjadi penjaring terbanyak negaranya ketika kelayakan. Akhirnya, salah satu penggempur terbaik dunia ini akan menikmati aksi Piala DUnia di Russia.