Berita AFC Champions League

Akhyar jaringkan gol kemenangan JDT tewaskan Ulsan Hyundai

JDT menghidupkan peluang ke pusingan kedua apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam saingan ACL 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan itu sekali gus menebus kekalahan 3-1 skuad Harimau Selatan kepada kelab Korea Selatan pada pertembungan di Stadium Bolasepak Ulsan Munsu di Ulsan, Korea Selatan pada 24 Okt lalu.

Selepas lebih 40 minit separuh masa pertama berlangsung, JDT akhirnya mendahului menerusi rembatan luar kotak penalti oleh Heberty pada minit ke-44.

Ulsan bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi jaringan Ataru Esaka pada minit ke-69 perlawanan selepas menerima hantaran daripada Valeri Qazaishvili.

Akhyar Rashid muncul wira apabila sentuhan pertama pemain sayap itu menjelmakan gol kemenangan pada minit ke-86 hasil hantaran Arif Aiman Hanapi.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus JDT mengikat kedudukan dengan Ulsan apabila kedua-dua pasukan meraih 6 mata daripada 4 perlawanan.

JDT akan berdepan dengan Kawasaki Frontale, 28 Nov ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke laman sendiri untuk berdepan BG Pathum United 12 Dis ini.