Liga Super Malaysia Berita

MFL lantik CEO baharu ganti Stuart Ramalingam

MFL mengumumkan pelantikan Giorgio Pompili Rossi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang baharu.
Bekas Delegasi LaLiga di Malaysia itu menjadi individu dari luar negara yang pertama dilantik sebagai CEO MFL.
Beliau mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos 2024.
Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 4 September 2024 berdasarkan pengalaman yang ada pada beliau dalam industri bola sepak sejak 2013.
“Kami di MFL mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan menaruh kepercayaan dengan kebolehan serta kepakaran beliau untuk menjalankan tugas selaku CEO yang baharu di sini,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.
“Pengalaman dan pengetahuan Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia.”
Rossi memulakan kerjayanya pada 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia sebelum beliau menyertai LaLiga pada 2017.
Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Selepas itu, Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL.