Piala FA Malaysia Berita

JDT julang Piala FA buat kali ke-4

JDT menewaskan Selangor 6-1 dalam final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu menyaksikan JDT menjulang trofi Piala FA buat kali ke-4 dalam sejarah selepas 2016, 2022 dan 2023.
Kemenangan itu hasil 4 gol di separuh masa kedua, dengan 3 gol hatrik disumbangkan oleh Juan Muniz.
Selangor bermula dengan baik apabila berjaya melakukan beberapa percubaan dan menahan asakan JDT yang gagal menjaringkan sebarang dalam 20 minit di separuh masa pertama.
Namun, Selangor dikejutkan dengan jaringan gol JDT hasil sepakan percuma dari Juan Muniz pada minit ke-26 menjadikan kedudukan 1-0.
Jaringan itu seolah-olah memberikan semangat kepada JDT untuk menambah gol apabila 20 minit kemudian gol kedua berjaya dihasilkan menerusi tandukan Arif Aiman pada minit ke-42.
Selangor berjaya merapatkan jurang kedudukan kepada 2-1 hasil jaringan Alvin Fortes pada minit ke-59.
Namun, jaringan Selangor itu nampaknya membangkitkan pemain JDT apabila menambah 4 gol bermula dengan Bergson pada minit ke-62.
Juan Muniz menjadikan kedudukan 4-1 hasil jaringan pada minit ke-67, sebelum Heberty menambah gol ke-5 pada minit ke-76.
Muniz melengkapkan hatrik serta kemenangan JDT dengan jaringan pada minit ke-89, menjadikan kedudukan 6-1 yang kekal hingga tamat perlawanan.
Ia kemenangan terbesar JDT dalam mana-mana perlawanan akhir dan kekalahan terbesar Selangor dalam mana-mana perlawanan akhir sejak Piala FA diperkenalkan pada 1990.