Malaysia Berita

Kim Pan-gon letak jawatan

Kim Pan-gon membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih negara berkuat kuasa serta merta.

“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya,” katanya.

“Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA dan pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Korea Selatan, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka.

“Namun malangnya kita tidak layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026. Tapi dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan dan 10 mata, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah.”

Jurulatih berusia 55 tahun itu berterima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama memberikan sokongan di sepanjang beliau mengendalikan skuad Harimau Malaya.

“Dengan setulus hati, saya sangat berterima kasih kepada semua yang telah menyokong saya dan pasukan kebangsaan.

“Harapan saya, FAM, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan negara bagi mencapai matlamat seterusnya iaitu layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.

“Kini sebagai ‘separuh’ rakyat Malaysia, saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi.”

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi berkata, kekosongan tersebut akan diisi oleh penolong ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan sambil dibantu penolong ketua jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan.

“Pan-gon telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM bagi menyatakan hasrat beliau untuk memendekkan tempoh kontraknya.

“Ia disusuli dengan beberapa lagi perjumpaan selepas itu yang mana kita cuba untuk memujuk beliau supaya mempertimbangkan semula hasratnya itu tetapi pada akhirnya, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan beliau dan bersetuju untuk melepaskan Pan Gon dengan persetujuan bersama, biarpun beliau masih berbaki kontrak dengan FAM sehingga Disember 2025.

“Sudah tentu ini satu berita sedih dan duka untuk kita semua kerana Pan Gon telah berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023, selain ranking FIFA kita juga meningkat naik di sepanjang dua tahun setengah beliau membimbing pasukan kebangsaan. Kita amat berasa kehilangan beliau.”

Staf-staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun akan terus kekal membantu Pau Marti, 41, dan Elavarasan dalam skuad Harimau Malaya berdasarkan kontrak masing-masing.

Tugasan pertama Pau Marti selaku pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.

Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti ini terutama menjelang Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.