Liga Super Malaysia Berita

MFL: Liga Malaysia 2024-2025 diteruskan dengan jaminan polis

MFL membuat keputusan bahawa semua perlawanan Liga Malaysia yang akan berlangsung minggu ini akan dijalankan mengikut jadual termasuk Piala Sumbangsih 2024.

Ini meskipun MFL simpati dan kesal di atas insiden yang menimpa tiga pemain Liga Malaysia iaitu Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.

Katanya, insiden ini menggemparkan negara khususnya penyokong bola sepak tempatan yang kini bersatu menyatakan sokongan dan mendoakan agar pemain terlibat dalam keadaan baik.

“MFL mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ke atas mana-mana pemain dan berharap kes ini dapat disiasat secara terperinci oleh pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” kata MFL.

“Namun, dengan jaminan keselamatan oleh pihak polis, MFL terpaksa menolak permohonan Selangor untuk menangguhkan Piala Sumbangsih atas faktor kebimbangan mengenai tahap keselamatan pasukan.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan.

Ini turut melibatkan jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim Jumaat ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

Kata MFL, pihaknya tidak pernah berkompromi dalam memastikan keselamatan pemain serta penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia menerusi kerjasama pasukan dan pihak berkuasa tempatan.

“Justeru, pihak MFL telah mengadakan mesyuarat bersama semua ketua pegawai keselamatan kelab Liga Malaysia hari ini bagi memastikan koordinasi keselamatan bagi setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini dipertingkatkan.”