Malaysia tewas 2-0 kepada Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad negara selepas tewas kepada Oman 2-0 di Muscat.
Malaysia dibolosi dengan jaringan penalti Omer Al Malki pada penghujung separuh masa pertama dan bolos sekali lagi oleh Mubarak Al-Ghafri yang melengkapkan kemenangan Oman pada masa tambahan sebelum tamat perlawanan.
Malaysia mempunyai peluang untuk mendahului seawal minit pertama apabila pemain sayap Arif Aiman merampas bola daripada ketua pasukan Oman, Mohammed Al Musalami dan belari ke dalam kotak penalti, namun rembatannya terkena kaki penjaga gol lbrahim Al Mukhaini.
Malaysia kehilangan Azam Azmi Murad apabila terpaksa diusung keluar pada minit ke-25 selepas mengalami kecederaan ketika cuba merampas bola daripada pemain lawan dan digantikan dengan Daniel Ting.
Malaysia hampir dibolosi oleh Muhsen Saleh Al Ghassani yang menerima hantaran Jameel tatkala ketua pasukan Dion Cools terjatuh ketika sedang mengejar, namun Syihan bertindak pantas menutup ruang untuk menidakkan gol pertama Oman.
Syihan kemudian melakukan tampanan penting apabila menyelamatkan rembatan Salaah Al Yahyaeitry pada minit ke-42 diikuti rembatan susulan Muhsen yang melambung tinggi sebelum menolak keluar bola tandukan Muhsen pada minit ke-44.
Namun Oman dihadiahkan sepakan penalti selepas Syihan didapati menjatuhkan Muhsen dalam kotak penalti yang disempurnakan Omer untuk meletakkan negaranya 1-0 di depan.
Malaysia nyaris dibolosi buat kali kedua apabila rembatan leret dari luar kotak penalti Salaah hanya singgah di tiang pada minit ke-52 sebelum perlawanan bertukar menjadi sedikit tegang memasuki 30 minit terakhir permainan.
Bagaimanapun, barisan pertahanan negara dihukum apabila Mohammed Mubarak yang tidak dikawal tenang menolak bola hantaran Abdullah Fawaz untuk menjaringkan gol kedua Oman pada masa tambahan separuh masa kedua.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul 6 mata manakala Kyrgyzstan yang mengatasi Taiwan 5-1.
Kyrgyzstan kekal sebagai pendahulu kumpulan selepas mengumpul 9 mata diikuti Oman yang mengumpul 9 mata manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.