FAM mengumumkan jalinan kerjasama bersama Grab Malaysia sebagai rakan e-hailing dan penghantaran makanan rasmi FAM.
Kehadiran Grab Malaysia menjelang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024 dilihat sebagai satu dorongan motivasi kepada skuad Harimau Malaya.
“Visi kami di FAM adalah satu visi yang dikongsi bersama, tidak kira dengan penyokong bola sepak tanah air tetapi juga bersama barisan penaja-penaja FAM,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Sudah tentu dengan kehadiran Grab Malaysia ini akan memberikan suntikan semangat kepada barisan kejurulatihan dan pemain pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, nanti.
“Mewakili pihak FAM, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga kerja Grab Malaysia di atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan. Semoga jalinan kerjasama ini akan membawa kedua-dua organisasi ke arah kejayaan.”
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo meluahkan rasa bangga di atas pengiktirafan sebagai rakan e-hailing dan penghantaran makanan rasmi bagi skuad bola sepak kebangsaan Malaysia.
“Setiap kali Harimau Malaya bertanding di kancah antarabangsa, seluruh negara akan berdiri di belakang pasukan negara, dan Grab turut bersama, mendukung cita yang sama.
“Melalui kerjasama ini, Grab akan memastikan keperluan harian pasukan bola sepak negara diuruskan dengan sempurna, sekaligus membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap prestasi.
“Selain itu, kerjasama ini akan membolehkan Grab memberi sumbangan bermakna terhadap masa depan bola sepak negara, serta mendorong kejayaan di peringkat global. Dalam menyokong perjuangan Harimau Malaya, kami turut meraikan perpaduan menerusi bola sepak, bersama jutaan rakyat Malaysia.”
Perjanjian kerjasama ini telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bersama Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor disaksikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dan Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian.
Kerjasama ini bukan sekadar satu lonjakan semangat kepada skuad Harimau Malaya, tetapi juga membuktikan komitmen bersama untuk mengembangkan dan memperkasakan arena bola sepak Malaysia.