Yazan Al-Arab digantung seumur hidup daripada beraksi dalam sebarang aktiviti bola sepak profesional di Malaysia susulan penamatan kontraknya dengan Selangor.
Ia diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Yazan didapati meluru ke arah pengadil semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor lawan Terengganu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023 sambil mengeluarkan kata-kata kepada pengadil apabila pengadil memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu.
“Pertuduhan pertama adalah menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada pengadil dan apabila setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan pertuduhan kedua telah meludah ke arah pengadil.
“Hukumannya pemain ini digantung empat perlawanan bagi pertuduhan pertama dan digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang Aktiviti Bola Sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia bagi pertuduhan kedua.”
Walau bagaimanapun jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, ia boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan, bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut.
Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi perlanggaran-perlanggaran di atas secara keseluruhannya adalah dihukum penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.
Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.
Sementara itu, 5 pegawai Selangor turut dikenakan hukuman dalam perlawanan yang sama.
Pegawai pasukan Selangor, Syafiq Iqmal Fozi didapati datang secara agresif dan melakukan provokasi melampau ke atas klumpulan pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat, menunjukkan isyarat tangan (lucah) dan menghalang laluan kumpulan pengadil menuju ke bilik persalinan semasa kumpulan pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan.
Syafiq digantung 10 perlawanan, didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Walau bagaimanapun, dia dikenakan penggantungan bagi 5 perlawanan dahulu dan baki 5 perlawanan selebihnya ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan dan keputusan ini boleh dirayu.
Beliau juga berdepan didapati melakukan kelakuan yang menyinggung dan fair play semasa perlawanan Suku Akhir 1 Piala Malaysia 2023, Terengganu lawan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 16 September 2023.
Namun, dia tidak dikenakan sebarang hukuman selepas pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Seorang lagi pegawai Selangor, Mohd Fadhli Mohd Zahari digantung 10 perlawanan, didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama, namun dikenakan penggantungan 5 perlawanan dahulu dan baki 5 perlawanan ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.
Beliau didapati melakukan provokasi melampau ke atas kumpulan pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan secara agresif, menunjukkan isyarat tangan (lucah) dan menghalang laluan pengadil menuju ke bilik persalinan.
Pengurus Komuniti Selangor, Amirul Aswad Subro turut digantung 10 perlawanan, didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama, dengan penggantungan 5 perlawanan dahulu dan baki 5 perlawanan ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.
Beliau didapati melakukan provokasi melampau ke atas pengadil, antara lain mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan secara agresif serta menghalang laluan pengadil menuju ke bilik persalinan semasa bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan.
Pengurus Aset Selangor, Wan Ajmal Wan Abdullah didenda RM15,000 serta digantung 10 perlawanan kerana membaling botol ke arah pengadil, melakukan provokasi melampau, mengeluarkan kata-kata kesat, penghinaan secara agresif, menunjukkan isyarat tangan (lucah) dan menghalang laluan pengadil menuju ke bilik persalinan.
Namun dia dikenakan penggantungan bagi 5 perlawanan dahulu dan baki 5 perlawanan ditangguhkan dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.
Dia turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.
Hukuman terhadap Ketua Marshall Selangor, M Jayabalan pula lebih berat apabila didenda RM10,000, digantung daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya termasuk di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, komuniti dan sosial di Malaysia.
Penggantungan itu dikenakan selama 2 tahun berkuat kuasa mulai 20 November 2023 sehingga 19 November 2025 dan didenda RM10,000 serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
Dia didapati membaling botol ke arah pengadil dan hampir mengenai kepala pengadil semasa bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan.
Semasa kumpulan pengadil berada dalam bilik persalinan, beliau telah datang ke bilik tersebut dan menghalau pengadil dari bilik tersebut, melakukan provokasi terhadap pengadil dan memarahi pengadil dengan menggunakan kata-kata kesat dan kata-kata lucah dan semasa dan atau selepas tamat perlawanan.
Beliau yang bertugas sebagai ketua marshall didapati gagal menjalankan tanggungjawabnya apabila enggan menyediakan kawalan keselamatan kepada pengadil bergerak meninggalkan padang permainan menuju ke bilik persalinan apabila diarahkan oleh Komisioner Perlawanan yang telah menyebabkan pengadil terdedah kepada ancaman daripada pegawai, pemain, penyokong dan petugas dari Selangor.