Piala Malaysia Berita

Terengganu jumpa JDT di Final Piala Malaysia 2023

Terengganu akan bertemu JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 selepas menewaskan Kuala Lumpur City 2-1 dengan agregat 4-2 pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Ia merupakan kali pertama Terengganu mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh lima tahun selepas kali terakhir melakukannya pada 2018.

Terengganu hanya dapat mendahului pada awal separuh masa kedua menerusi jaringan Ivan Mamut.

Namun, ia tidak bertahan lama apabila KL menyamakan kedudukan menerusi tandukan Romel Morales pada minit ke-51.

Ivan melengkapkan kemenangan Terengganu menerusi rembatan dari dalam kotak penalti pada minit ke-67, dengan eputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

“Ivan seorang pemain yang baik namun kita ada ramai pemain bagus,” kata Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner.

“Ya, mungkin ia persembahan terbaik Ivan dan beliau membawa kami ke final, tapi kami satu pasukan.

“Semua pemain penting. Juga pemain muda seperti Ubai (Ubaidillah Shamsul Fazili) dan Syahmi (Syahmi Zamri) bermain sangat baik.”

Final Piala Malaysia 2023 akan berlangsung pada 9 Disember ini.

“Kami tahu kebolehan JDT dan kualiti mereka. Kami akan cuba bersedia (sebaik mungkin) dan bermain dengan baik dalam perlawanan itu.”