Liga Super Malaysia Berita

Bolos 4 gol, Terengganu dimalukan Selangor di laman sendiri

Terengganu dikejutkan dengan kekalahan 4-0 kepada Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi.

Ini meskipun pasukan itu berjaya menyingkirkan Selangor dalam Piala Malaysia dan layak ke separuh akhir minggu lalu.

Yohandry Orozco muncul wira Selangor apabila menyumbat 2 gol, sekali gus pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe melakar kemenangan pertama dalam tempoh lima tahun, selepas kali terakhir menewaskan Terengganu pada 2018.

Gergasi Merah mendahului menerusi percubaan cantik dari luar kotak penalti oleh Orozco pada minit ke-26.

Penyerang berusia 32 tahun itu menambah gol kedua apabila mengambil kesempatan di atas kesilapan Rahadiazli Rahalim yang gagal menampan kemas percubaan Mukhairi Ajmal, 4 minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bintang negara, Faisal Abdul Halim menambah derita pasukan lamanya dengan menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan kaki kiri untuk jaringan ke-11 peribadinya dalam saingan liga musim ini pada minit ke-57.

Tiga minit kemudian, penjaring terbanyak Terengganu, Ivan Mamut berpeluang menjaringkan gol namun dinafikan penjaga gol Selangor, Samuel Jacob Somerville.

Selangor melengkapkan kemenangan apabila pemain gantian Aliff Izwan Yuslan menolak masuk hantaran pemain tengah, Aliff Haiqal untuk jaringan keempat pasukannya pada minit ke-81.

Kemenangan itu memastikan Selangor terus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga dengan 52 mata dalam 23 perlawanan manakala Terengganu yang telah bermain sebanyak 22 kali pula mengumpul 35 mata di kedudukan ke-6.

Dalam pada itu, perlawanan Kelantan dan Sabah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu terpaksa ditunda ke satu tarikh ditetapkan susulan hujan lebat sejak 6 petang yang mengakibatkan permukaan padang ditakungi air.