Dua gol penyerang gantian Fergus Tierney membantu skuad B-23 bangkit menewaskan juara Sukan SEA 2023, Indonesia 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B Kejohanan B-23 AFF.
Pada pertembungan di Stadium Rayong Provincial, Thailand itu, kedua-dua pasukan menampilkan aksi hambar apabila masing-masing hanya membuat satu percubaan tepat ke gawang sebelum Indonesia memanfaatkan kesilapan benteng pertahan pasukan negara untuk mendahului pada minit ke-29.
Gol pembukaan skuad Garuda Muda dijaringkan Muhammad Ramadhan Sananta yang melepasi perangkap ofsaid, menggelecek Saiful Jamaluddin yang tergelincir sebelum tenang melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Rahadiazli Rahalim.
Penjaga gol Terengganu berusia 22 tahun itu bagaimanapun bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan percuma pemain tengah Indonesia, Beckham Putra Nugraha pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Menyedari sesuatu perlu dilakukan, E. Elavarasan membuat beberapa pertukaran pemain antaranya memasukkan Fergus yang tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan jurulatihnya apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan pada minit ke-53.
Penyerang JDTII berusia 20 tahun itu kemudian tenang menyempurnakan penalti seminit kemudian, menewaskan Ernando Ari Sutaryadi di gawang sekali gus menyamakan kedudukan buat Malaysia sebelum meletakkan pasukan di hadapan berselang lapan minit kemudian.
Fergus meledak gol peribadi kedua berpunca gerakan serangan pasukan yang tersusun sebelum bola yang terkena kaki Kadek Arel Priyatna melantun tepat ke arah beliau yang tidak dikawal dalam kotak penalti untuk melepaskan rembatan menewaskan Ernando Ari buat kali kedua.
Selepas buntu menemui penyudah sepanjang 90 minit permainan, Ramadhan terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan apabila beliau yang tidak dikawal gagal menanduk kemas bola sepakan penjuru rakan sepasukan pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Tambahan masa lapan minit itu berjaya diharungi anak buah Elavarasan untuk mempertahankan kelebihan sekali gus mengutip tiga mata berharga menjelang aksi terakhir berdepan Timor Leste.
Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata dalam memburu tempat ke separuh akhir yang hanya akan diisi juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik.
Kejohanan B-23 AFF 2023 yang berlangsung di Rayong, Thailand dari 17 sehingga 26 Ogos ini menyaksikan saingan Kumpulan A menghimpunkan pasukan tuan rumah, Kemboja, Brunei dan Myanmar sementara Kumpulan C dibarisi juara bertahan Vietnam, Filipina dan Laos.
Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005.