Natxo Insa dan Feroz Baharudin dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya dan akan kembali ke JDT.
Ini setelah hasil pemantauan harian oleh doktor dan fisioterapis pasukan negara yang mendapati Natxo tidak bersedia untuk beraksi dalam sebarang perlawanan persahabatan negara.
Feroz pula diturunkan dalam kesebelasan utama pada bertemu Kepulauan Solomon tempoh hari tetapi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring.
“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain tersebut pada jendela hari perlawanan FIFA kali ini,” kata jurulatih negara, Kim Pan-gon.
“Tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz.
“Semoga kedua-dua mereka cepat sembuh dan boleh kembali beraksi dalam saingan liga domestik bersama JDT, seterusnya kembali cergas untuk dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.”
Dengan ketiadaan Natxo dan Feroz, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.
Bagaimanapun, Pan-gon menghargai kesediaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT atas kesediaan dan keprihatinan baginda untuk skuad negara menggunakan khidmat para pemain dari kelab tersebut.
“Separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi oleh pemain dari JDT dan sudah tentu.
“Dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain-pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini.”