Malaysia Berita

FAM bimbang skuad negara bertembung konsert Coldplay

Skuad negara kemungkinan besar akan bertembung dengan konsert Coldplay pada hujung tahun ini.

Ini kerana, kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 akan bermula pada 16 November sedangkan konsert itu akan diadakan pada 22 November ini.

Dengan tarikh yang begitu hampir dengan satu sama lain, kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin akan dihadkan.

Ini mengulangi isu konsert Jay Chou yang menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil ketika Malaysia menghadapi Piala AFF tahun lalu.

“Kami mempunyai kontrak dengan Perbadanan Stadium Malaysia,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Ia (perjanjian) menyatakan bahawa venue perlu disediakan untuk perlawanan Harimau Malaya semasa kalendar FIFA.

“Jika ini selalu berlaku, maka lebih baik tidak perlu ada kontrak dengan mereka.”

Katanya, beliau telah bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan akan mencari penyelesaian terhadap perkara tersebut.

“Kami akan membuat rayuan dan melihat sama ada padang itu tersedia pada 21 November. Kami akan melakukannya selepas undian pada Julai.”