Liga Super Malaysia Berita

Bolos lebih 30 gol, Kelantan catat rekod bolos terbanyak dalam Liga Super

Kelantan terus mempamerkan prestasi hambar apabila tewas 6-1 kepada Sabah di Likas, Kota Kinabalu.

Kekalahan itu merupakan kekalahan ke-7 buat Kelantan yang telah dibolosi sebanyak 31 gol dalam hanya 9 perlawanan, rekod bolos paling banyak dalam Liga Super musim ini.

Sabah bermula cemerlang pada separuh masa pertama menerusi Daniel Ting yang menjaringkan dua gol pada minit ke-4 dan 11.

Kelantan merapatkan kedudukan menerusi jaringan Miguel Cifuentes hanya seminit selepas separuh masa kedua bermula.

Namun, dua minit kemudian, Darren Lok menjaringkan gol ketiga buat Sabah.

Gol ke-4 pula dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-61 diikuti jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-75.

Castanheira melengkapkan kemenangan Sabah pada masa tambahan dengan gol ke-6.

Sabah kini di tangga ke-4 liga dengan 17 mata selepas 9 perlawanan.

Kelantan kekal kedudukan kedua tercorot liga, dengan hanya mengutip 4 mata dalam 9 perlawanan.