Kedah akan menandatangani 9 pemain import bagi Liga Malaysia musim 2023.
Ini setelah pasukan Sang Kenari itu menandatangani 7 pemain import setakat ini.
Mereka adalah Amirbek Jurabaev dari Tajikistan, Manuel Ott (Filipina), Alan Robertson (Afrika Selatan), Manuel Hidalgo (Argentina), Bojan Ciger (Serbia), Willian Lira (Brazil) dan Jonathan Balotelli (Brazil).
“Masih ada lagi pemain bagi melengkapkan senarai 9 pemain import,” kata CEO Kedah, Khamal Idris Ali kepada BH.
“Ya di atas kertas memang sudah ada, cuma kita belum lagi umum nama mereka, mungkin dalam tempoh terdekat ini.
“Jadi akan ada lagi dua slot pemain import yang akan dimumkan dalam masa terdekat dan mungkin sebelum kita ke Jelajah Pramusim di Turki nanti.
“Kalau mereka tidak dapat bersama pasukan ke Turki, pemain-pemain itu akan mengikuti latihan bersama pasukan Liga Simpanan Kedah bawah 23 tahun.”
Kedah akan menyertai Piala Harapan 2023 di Pulau Pinang bermula hari ini.
Kejohanan pra-musim itu dianjurkan Pulau Pinang sebagai tuan rumah.
Selangor dan kelab Singapura, Geylang International turut menyertai kejohanan tersebut.