Terengganu membuat keputusan menawarkan kontrak selama setahun kepada Nafuzi Zain bagi saingan Liga Malaysia musim 2023.
Ini memandangkan kontrak jurulatih berusia 43 tahun itu bakal berakhir pada hujung bulan depan dan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd hari ini.
“Kita bersetuju memberikan tawaran kepada Nafuzi Zain untuk terus menjadi ketua jurulatih Terengganu pada sesi akan datang dengan bajet yang ada,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada Harian Metro.
“Insya-Allah pihak Terengganu akan segera memberikan tawaran kontrak selama setahun kepada Nafuzi dan kita lihat sama ada beliau akan menerima ataupun sebaliknya tawaran berkenaan yang perlu dijawab dalam tempoh 14 hari selepas surat tawaran diberikan.
“Kita bersetuju untuk menawar sambungan kontrak berdasarkan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) musim ini iaitu berjaya melangkah ke pentas final Piala FA dan layak beraksi dalam kancah Piala AFC musim depan selain berjaya menduduki tempat kedua Liga Super.”
Malah, katanya, Nafuzi bebas memilih dan menyenaraikan pemain yang dikehendakinya.
“Kita juga bersetuju memberikan peluang kepada Nafuzi untuk menyenaraikan pemain yang beliau mahukan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia musim depan.”
Namun, jika Nafuzi menolak tawaran tersebut, beberapa calon ketua jurulatih lain turut dikemukakan bagi musim depan.