Berita Asian Cup

AFC: Piala Asia 2023 akan diadakan pada Januari 2024

Piala Asia 2023 akan diadakan pada Januari 2024, bukan Januari 2023 atau pertengahan tahun 2023 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelantikan Qatar sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 memandangkan negara itu juga menganjurkan Piala Dunia yang akan bermula pada bulan depan.

“Biasanya Piala Asia di Asia Barat akan diadakan pada bulan Januari kerana cuaca yang lebih sesuai,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John kepada Astro Arena.

“Tapi harus diingatkan Piala Dunia Remaja di Indonesia akan diadakan Jun 2023 dan September 2023 pula Sukan Asia di China berlangsung.

“Jadi Mei dan Jun tahun depan bukan masa yang sesuai, oleh itu Qatar menjadi pilihan untuk menganjurkan Piala Asia 2023 pada Januari 2024.”

Daripada 24 negara yang mengambil bahagian di Piala Asia, cuma enam negara yang layak bermain di Piala Dunia.

Qatar dipilih sebagai tuan rumah kerana mempunyai pelbagai kemudahan fasiliti dan stadium baharu, sekali gus boleh digunakan serta-merta jika dilantik sebagai penganjur.

Malah, Qatar juga menyumbang kepada kewangan dan penajaan terhadap penganjuran Piala Asia.

Ini kali ketiga Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia selepas 1988 dan 2011.