Liga Super Malaysia Berita

Terengganu naib juara Liga Super 2022, JDT musnahkan impian Sabah

Terengganu muncul naib juara Liga Super 2022 apabila menewaskan Kedah 3-1 di Alor Setar sekali gus layak beraksi di Piala AFC musim 2023.

Ini kali ketiga Terengganu layak ke Piala AFC selepas kali pertama pada 2012 dan kali kedua pada 2020 namun Zon ASEAN ketika itu dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu meraih 44 mata dalam 22 perlawanan, 2 mata di depan Sabah (42 mata) di tempat ketiga dan Negeri Sembilan (41 mata) di tempat keempat liga.

Terengganu mendahului seawal minit ke-4 menerusi Faisal Halim sebelum Kipre Tchetche menjaringkan gol kedua pada minit ke-16 dan ketiga pada minit ke-73, dengan Dechi Marcel N Guessan menjaringkan gol saguhati Kedah.

Kedah menamatkan saingan liga di tangga ke-8, selepas dua musim muncul naib juara pada musim 2020 dan 2021.

Hasrat Sabah untuk menamatkan saingan selaku naib juara pula tidak kesampaian apabila tewas 3-0 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Pasukan dari Borneo itu gagal mengawal Bergson yang menjaringkan dua gol serta gol Arif Aiman yang dihasilkan menerusi sepakan percuma.

Bergson meraih anugerah Kasut Emas apabila menjaringkan 29 gol dalam liga musim ini, jumlah jaringan terbanyak dalam sejarah Liga Super.

Negeri Sembilan yang turut berpeluang untuk muncul naib juara liga dikejutkan dengan kekalahan 2-0 kepada Pahang di Kuantan.

David Rowley muncul wira Pahang apabila menjaringkan dua gol, malah nasib tidak menyebelahi Negeri Sembilan apabila pemainnya, Nasrullah Haniff dilayangkan kad kuning kedua di hujung perlawanan kerana melakukan kekasaran terhadap Manuel Hidalgo.

Negeri Sembilan menamatkan saingan liga di tangga keempat dengan 41 mata manakala Pahang di tangga ke-7 dengan 28 mata.

Selangor berada di tangga ke-5 liga dengan 30 mata selepas terikat 1-1 dengan pasukan tercorot, Pulau Pinang yang hanya meraih 11 mata dalam 22 perlawanan.

Hasrat finalis Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City untuk memintas Selangor tidak menjadi kenyataan apabila tewas 1-0 kepada PJ City di Kelana Jaya hasil jaringan tunggal penyerang kebangsaan, Darren Lok.

KL mengumpul 29 mata manakala PJ meraih 26 mata daripada 22 perlawanan.

Sementara itu, Sarawak United meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United dalam pertembungan antara kedua-dua pasukan yang berdepan dengan isu tunggakan gaji.

Namun, kemenangan itu tidak mencukupi untuk Sarawak United apabila kekal di tangga ke-11 liga dengan 17 mata, hanya beza satu mata dengan Melaka United yang menduduki tangga ke-10 dengan 18 mata daripada 22 perlawanan.

Pasukan Liga Malaysia akan meneruskan saingan seterusnya di Piala Malaysia 2022 yang akan bermula pada hujung bulan ini.

Liga Super akan kembali tahun depan dengan format baharu 18 pasukan dan 9 pemain import boleh didaftar.