Liga Super Malaysia Berita

JDT malukan Kedah, walaupun Bergson kena kad merah

Johor Darul Ta’zim meraih kemenangan 3-1 ke atas Kedah dalam perlawanan penuh dramatik di Alor Setar.

Kemenangan itu diraih selepas dinobatkan juara Liga Super 2022 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Bergson dibuang padang.

JDT dikejutkan dengan gol pendahuluan Kedah seawal minit ke-12 apabila Ronald Ngah berjaya melepasi dua pemain pertahanan sebelum merembat masuk gol menewaskan Farizal Marlias.

Namun, JDT berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 apabila Bergson menjaringkan gol ke-25 dalam Liga Super hasil hantaran Afiq Fazail.

Bergson bagaimanapun diarah keluar padang di hujung separuh masa pertama apabila didapati mengasari Rodney Celvin di bahagian kepala.

Walaupun beraksi 10 pemain di separuh masa kedua tanpa Bergson, JDT tidak berdepan masalah untuk mencipta peluang di depan gol.

Malah, JDT mendahului pada minit ke-59 apabila Leandro Velazquez menyempurnakan sepakan penalti setelah pertahanan Kedah, Azmeer Aris Nor Rashid mengasari Syafiq Ahmad dalam kotak penalti.

JDT melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-78 hasil kesilapan kapten Kedah, Akmal Md Zahir apabila hantarannya dipintas oleh Arif Aiman sebelum disudahkan oleh Afiq Fazail.

Keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan, menjadikan kemenangan JDT sebagai kemenangan ke-15 dalam Liga Super musim ini, dengan 49 mata dalam 19 perlawanan.

Kedah kekal di tangga ke-6 dengan 27 mata dalam 19 perlawanan.