Malaysia Berita

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar letak jawatan

Mohd Saifuddin Abu Bakar membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM serta-merta.

Ini meskipun beliau hanya dilantik untuk memegang jawatan itu sejak 1 Sept tahun lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Stuart Ramalingam yang dilantik sebagai CEO MFL.

Namun jelasnya, beliau tidak digesa untuk meletakkan jawatan sebaliknya keputusan itu dibuat kerana beliau ingin kembali menyambung kerjaya pengurusan bola sepak di peringkat antarabangsa, memandangkan sebelum ini beliau berkhidmat di Liga Oman.

“Tiada gesaan (letak jawatan) atau apa-apa,” kata Saifuddin kepada Bernama.

“Saya gembira bekerja di FAM. Saya rasa saya tak pernah calarkan nama FAM… saya tak ambil dan curi duit FAM atau ambil komisen dan sebagainya.”

Beliau turut mendedahkan bahawa Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin adalah sebab beliau kembali bekerja di FAM.

“Beliau (Hamidin) adalah kawan saya, pada masa sama saya nak bantu bola sepak Malaysia.

“Perkara terbesar telah saya buat (di FAM) adalah membangunkan beberapa liga domestik, beri cadangan mengenai pertandingan Piala Belia dan kongsi idea untuk bantu persatuan bola sepak negeri.”

Satu mesyuarat tergempar dijadual berlangsung di FAM petang ini bagi membincangkan keputusan pengunduran Saifuddin.

Beberapa calon sudah dikenal pasti untuk menggantikan Saifuddin, antaranya Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman.