Liga Super Malaysia Berita

Brendan Gan kembali dengan cemerlang, selepas setahun tidak beraksi akibat kanser

Brendan Gan kembali dengan cemerlang apabila membantu pasukannya Selangor meraih kemenangan besar 7-0 ke atas Sarawak United di Kelana Jaya.

Ini perlawanan pertama buat pemain tengah berusia 34 tahun itu, selepas hampir setahun tidak beraksi setelah disahkan menghidap kanser testis pada Julai tahun lalu.

Namun, ketika menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-7, tampak jelas kegembiraan di wajahnya apabila meraikan jaringan tersebut bersama rakan-rakan sepasukannya.

“Bola sepak adalah antara perkara yang saya suka dalam hidup saya,” kata Brendan.

“Bila saya dapat beraksi di atas padang, tidak ada perasaan yang lebih baik daripada ini.

“Ini saat yang sudah lama dinantikan. Ia perlawanan yang amat bermakna buat saya dan keluarga saya.

“Terima kasih kepada semua sokongan yang diberikan. Ia memang sangat bermakna dan saya akan balasnya dengan aksi 100 peratus di atas padang.”

Aksi cemerlang Brendan turut dipuji oleh Ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner.

“Bagi Brendan, dia layak dapat kemenangan ini, dia berjuang untuk hidupnya.

“Dia membuktikan, kalau kita betul-betul tidak berputus asa, kita akan raih manfaatnya jua.

“Perlawanan ini amat baik untuk dia, amat baik untuk pasukan, dia kapten yang naikkan semangat pasukan.”