B Sathiananthan membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Sarawak United kerana masalah kesihatan.
Pengumuman itu dibuat selepas pasukannya tewas 7-0 kepada Selangor.
Bagaimanapun, Sathia sudah tidak lagi mengendalikan pasukannya sejak beberapa hari lalu, sebaliknya dikendalikan oleh penolong jurulatihnya, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah.
Sarawak United berkata, Sathia mengundurkan diri atas faktor kesihatan yang beliau hadapi dan memerlukan pemerhatian khusus dan rawatan susulan daripada pakar.
“Pengurusan Sarawak United mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada
B. Satiananthan atas khidmat dan bakti beliau selama ini,” kata Sarawak United dalam kenyataan.
Kekosongan yang ditinggalkan Sathia diisi S. Balachandran berkuatkuasa serta-merta.
“Keputusan ini telah diambil oleh pengurusan Sarawak United bersama Presiden, Datuk Posa Majais bagi meneruskan kemaraan dalam liga.
“Semoga Sarawak United bangun dari kebangkitan dengan semangat baru.”
Sebelum ini, Sathia mengesahkan beliau sedang menjalani rawatan dan berehat daripada menjalankan tugas di atas padang, namun enggan mendedahkan mengenai penyakit yang dihadapinya.
“Ya betul, saya ada masalah kesihatan,” kata Sathia kepada Harian Metro.
“Tapi tidak seteruk mana, cuma doktor nasihatkan supaya saya berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Walaupun disarankan untuk berehat, saya tidak boleh melupakan terus dunia bola sepak dan sedia memikul tangungjawab lain.
“Kalau boleh dilantik sebagai Pengarah Teknikal Sarawak United pun ok, tapi saya kena bincang dengan pengurusan.”