Malaysia Berita

Korea Selatan bida tuan rumah Piala Asia 2023

Korea Selatan secara rasminya menyertai perlumbaan untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia 2023.

Ini bermakna, Malaysia mungkin akan beraksi di Korea Selatan, iaitu negara kelahiran ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.

Kali terakhir Korea Selatan menjadi tuan rumah adalah pada edisi 1960.

Ini selepas keputusan China menarik diri sebagai tuan rumah memberi laluan kepada AFC untuk membuka bidaan baharu bulan lalu dan menyatakan pihak yang berminat mesti mengesahkan bidaan mereka selewat-lewatnya 30 Jun ini.

“Persatuan Bola Sepak Republik Korea membida untuk menganjurkan Piala Asia 2023 yang dihoskan oleh AFC di Korea Selatan,” katanya menerusi kenyataan di laman web mereka.

“Oleh itu, kami ingin meneruskan permohonan bidaan dengan bandar yang mempunyai stadium yang boleh menganjurkan perlawanan antarabangsa.”

Katanya lagi, keputusan itu akan merangsang Korea Selatan sebagai negara bola sepak, sambil menambah baik infrastruktur bola sepak dan menggiatkan semula ekonomi negara.

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol turut menyokong penuh untuk menganjurkan kejohanan itu dan sudah mengarahkan menteri sukannya untuk memastikan mereka memperoleh hak penganjuran.

Bagaimanapun, Jepun, Qatar, Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan berminat untuk menjadi tuan rumah.

Walaupun Korea Selatan adalah salah satu pasukan terbaik Asia, mereka hanya memenanginya dua kali iaitu pada 1956 dan 1960.

Pada 2019 di UAE, Korea Selatan tewas kepada juara Qatar di suku akhir.

Jika negara Asia Timur memenangi bidaan itu, kejohanan mungkin akan berlangsung pada Jun 2023, tetapi jika negara Asia Barat menang bidaan, mereka akan mengadakannya pada Januari tahun depan, mengambil kira iklimnya.

AFC telah membentangkan keperluan kapasiti stadium untuk calon yang menang bidaan tuan rumah.

Perlawanan sehingga suku akhir mesti diadakan di stadium dengan sekurang-kurangnya 20,000 kapasiti.

Perlawanan separuh akhir mesti dianjurkan di sitadium dengan 40,000 atau lebih kapasiti.

Perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir mesti dimainkan di stadium dengan sekurang-kurangnya 50,000 kapasiti.