Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menyifatkan para pemain skuad kebangsaan mula menunjukkan keupayaan sebenar mereka.
Ini selepas Malaysia mencatatkan dua kemenangan berturut-turut, iaitu 2-0 ke atas Hong Kong dan 4-0 ke atas Brunei baru-baru ini.
“Pemain kita, mereka bermain sebagai satu pasukan,” kata Pan-gon dalam sidang media selepas perlawanan.
“Mereka sangat berdisiplin, sangat fokus…semua elemen yang ada itu memberikan kita kemenangan.
“Apabila kita fokus dan beraksi dengan baik, ia akan memberikan kita sesuatu. Kali ini, para pemain benar-benar menunjukkan semangat, tenaga, keazaman…harapnya peminat dapat menikmatinya.
“Sudah tentu kita belum capai 100 peratus, tetapi kita mengambil langkah demi langkah dan kita tidak sabar untuk melihat hasilnya.
“Setiap langkah adalah penting, dan saya bangga dengan para pemain.”
Beliau juga menganggap kemenangan ke atas Hong Kong menunjukkan skuad kebangsaan memahami falsafah bola sepak yang diterapkannya ketika ini.
“Setiap perlawanan ada tujuannya, para pemain yang diturunkan pun ada tujuannya sebab setiap perlawanan amat penting.
“Keseluruhannya, para pemain mematuhi falsafah bola sepak kita, corak permainan kita, perancangan kita, jadi saya tidak boleh kritik apa-apa. Kita mesti sedar kita sudah berada di tahap ini.
“Jadi, kita buat yang terbaik, pemain tunjukkan apa yang mereka boleh buat.
“Kita juga meneliti prestasi menerusi pasukan teknikal yang membantu kita dengan pemain yang berkualiti, kerana kita tidak boleh mengajar mereka, kita cuma membantu supaya mereka boleh melihat dengan lebih jelas.”