Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mengakui beliau tidak akan mengubah sebarang pelan dan strategi skuad kebangsaan yang akan bertemu Hong Kong di Bukit Jalil esok.
Ini selepas beliau memulakan formasi 3-4-3 dan menggunakan corak permainan agresif ketika menewaskan Brunei 4-0 beberapa hari lalu.
“Mungkin Hong Kong lebih kuat daripada Brunei,” kata Pan-gon dalam sidang media hari ini.
“Tetapi pendekatan kita adalah sama.
“Kita akan gunakan falsafah yang sama dan cara permainan yang sama.
“Dan pendekatan kita adalah untuk menang, ia adalah sama. Jadi, saya tidak bergantung kepada mana-mana pemain (untuk raih kemenangan).”
Pada masa sama, katanya, pertemuan dengan Hong Kong akan memberikan cabaran yang positif buat skuad kebangsaan.
“Mungkin kalau mereka banyak beraksi secara bertahan, saya akan rasa gembira.
“Tetapi kalau mereka cenderung untuk menyerang, ia adalah bagus untuk kita beraksi dengan lebih baik dan memberikan perlawanan menarik untuk penyokong.”
Ini kali pertama Pan-gon akan bertemu pasukan lamanya, Hong Kong selepas kali terakhir menjadi jurulatih kepada pasukan itu pada 2017. Beliau berkhidmat di negara itu selama 5 tahun.
“Kita ada pelan dan strategi,” tambah Pan-gon.
“Mana-mana pemain yang beraksi melawan Brunei atau Hong Kong, kita mahu pemain mempamerkan aksi terbaik mereka.
“Kita cuba memberikan persekitaran yang terbaik, memberikan mereka peluang beraksi.
“Ia tugas kita untuk membuat persiapan yang bagus supaya pemain dapat memberikan prestasi yang diharapkan.”