Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Bukan salah saya Syafiq Ahmad kembali ke JDT

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Sanusi Md. Nor menafikan beliau menjadi punca utama Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat keputusan untuk memanggil semula Syafiq Ahmad dari Kedah.

Ini meskipun penyerang berusia 26 tahun baru beraksi dalam 9 perlawanan dan menjaringkan 2 gol serta 3 assist.

Namun, keputusan JDT itu menyebabkan Syafiq hanya sempat beraksi dengan Kedah selama 6 bulan sahaja, berbanding perjanjian selama semusim yang ditandatangani awal tahun ini.

“Menyalahkan saya ya,” katanya kepada Kosmo.

“Saya tidak sentuh Syafiq Ahmad. Mana sebab saya pula, saya buat apa? Saya buat apa? Siapa yang makan cili ini? Saya tak tahu, siapa makan cili dia yang pedaslah. Bukan hal itu. Kenapa perasan sangat?”

“Sebab apa pula saya yang dipersalahkan atas tindakan JDT itu, saya ada buat salah apa?

“Kenapa hendak salahkan saya Syafiq dipanggil semula ke JDT. Dalam perjanjian pinjaman, pasukan asal memang boleh ambil semula pemain pinjaman pada bila-bila masa, tiada siapa yang boleh halang.”

Bagaimanapun, beliau tidak terlalu bimbang dengan ketiadaan Syafiq di bahagian serangan Kedah.

“Saya tidak takut dengan ketiadaan dia (Syafiq), kita ini macam ada kilang yang melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berkualiti.

“Sekarang kita tengah buat Liga Menteri Besar di seluruh Kedah dan beratus-ratus pemain akan dilahirkan menerusi liga ini, jadi saya sedikit pun tidak risau tentang pemain. Kalau tengok, ramai anak Kedah yang dicungkil, dilatih di Kedah lepas itu dieksport ke negeri lain.

“Ada pasukan Selatan pun ambil pemain Kedah, dua hingga tiga orang. Apa yang nak dihairankan?

“Ada yang suruh beli Syafiq terus. Tidak perlu kerana banyak lagi pemain yang kita ada. Hujung bulan nanti akan ada musim perpindahan, jadi akan ada proses ganti pemain dan kita akan cari yang bagus-bagus.

“Ramai lagi. Hujung bulan ini ada perpindahan, tengoklah siapa nak datang.”