Liga Super Malaysia Berita

Mora: 10 minit masa tambahan luar biasa, tetapi pengadil buat keputusan tepat

Jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui keputusan pengadil untuk menambah 10 minit dalam masa tambahan ketika pasukannya meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Paroi semalam adalah sesuatu yang luar biasa.

Ini selepas tempoh masa tambahan itu dikritik ramai pihak sehingga Fernando Forestieri berpeluang menjaringkan gol dari jarak jauh di saat-saat akhir perlawanan.

“Kalau kita betul-betul bersikap adil, mengambil kira semua masa yang terbuang, saya rasa ia adalah keputusan yang adil,” kata Mora dalam sidang media selepas perlawanan.

“Memang ia luar biasa (10 minit masa tambahan) kerana ia tidak selalu berlaku, tetapi ia mesti berlaku supaya ada masa sedikit untuk perlawanan ini, bukan sekadar membuang masa.

“Tetapi itu semua terpulang kepada pengadil. Kita hormati segala keputusan mereka. Saya rasa pengadil buat keputusan adil untuk kedua-dua pasukan, ada keputusan yang bagus, ada yang tidak tetapi itu normal, tapi 10 minit tambahan masa adalah sesuatu yang wajar.”

Mora bagaimanapun menyifatkan pasukannya tidak pernah mengalah meskipun mengakui dengan kualiti pasukan Negeri Sembilan.

“Selagi kita berada di atas padang, selagi itu apa sahaja boleh terjadi.

“Negeri Sembilan adalah pasukan yang bagus, mereka bertungkus-lumus mencari peluang, mereka ada mentaliti dan semangat juang yang tinggi.

“Mereka mempertahankan rumah mereka, banyak menyukarkan kita terutamanya separuh masa pertama yang sangat seimbang.

“Separuh masa kedua kita sudah mula menguasai kawasan mereka, banyak mencipta peluang ke gawang gol tetapi tak boleh jaringkan gol kerana pertahanan yang ampuh.

“Namun, akhirnya, kita tidak pernah berhenti berjuang.”

Dalam pada itu, jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan tidak begitu kecewa dengan kekalahan pasukannya, sebaliknya memuji prestasi setiap pemain.

“Kita tak parking bas, kita main macam biasa sahaja.

“Kita tahu JDT ini pasukan yang bagus. Mereka berada di tahap yang berbeza tetapi pasukan Negeri Sembilan tunjukkan real character, saya tabik kepada para pemain, saya bangga di atas prestasi setiap pemain.

“Dalam perlawanan, kita perlu proaktif. Kita tidak boleh beraksi menentang pasukan yang bagus dengan sikap yang reaktif.

“Sebab itu, kita mengambil pendekatan taktikal yang proaktif supaya kita boleh cabar mereka, boleh melakukan serangan habis-habisan. Kita tidak pernah benar-benar bertahan sepanjang masa.

“Malah, kita bertahan lebih bagus daripada pihak lawan, kita mencipta banyak peluang cuma tidak boleh menyudahkannya.”

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau bersetuju dengan tambahan masa 10 minit, Devan enggan memberikan sebarang jawapan.

“Saya tak nak komen, saya bukan ref nak komen perkara itu.”