Buat pertama kali dalam sejarah, Johor Darul Ta’zim mara ke pusingan 16 terakhir dalam saingan AFC Champions League 2022 setelah menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim petang tadi.
Ini merupakan kali pertama JDT layak ke pusingan kalah mati, sejak menyertai kejohanan berprestij Asia itu secara automatik pada 2019.
JDT membuat kejutan apabila mendahului seawal minit ke-4 menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez.
Namun, dalam tempoh seminit sahaja, Ulsan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan padu pemain sayapnya, Jun Amano.
JDT jelas menguasai perlawanan dengan 56 peratus kawalan bola (possession) serta menghasilkan 20 percubaan namun hanya 3 yang tepat ke gawang gol pihak lawan.
Ini berbeza dengan Ulsan yang hanya mempunyai 44 peratus possession, tetapi menghasilkan 10 percubaan dan 4 yang tepat ke gawang gol.
Perlawanan bagaimanapun tampak berakhir dengan keputusan 1-1 sehinggalah masuk ke masa tambahan separuh masa kedua.
Namun, segala-galanya berubah apabila Arif Aiman berjaya merampas bola dari pihak lawan sebelum beliau menghantar bola itu tepat ke arah pemain pertahanan Ulsan, Park Yeon-woo yang tidak sengaja tertampan ke gawang golnya sendiri.
Jaringan gol sendiri itu disambut dengan girang oleh para pemain JDT, disusuli dengan sorakan para penyokong tempatan di stadium kerana dapat menyaksikan detik bersejarah itu dicipta oleh pasukan kesayangan mereka di tanah air sendiri.
Keputusan akhir menyaksikan JDT menjuarai kumpulan I dengan 13 mata, Kawasaki Frontale dengan 11 mata, Ulsan (10 mata) dan Guangzhou FC yang gagal mengutip sebarang mata apabila tewas dalam semua perlawanan.
Pusingan 16 terakhir dijangka bermula pada 18 Ogos ini.
Musim ini adalah penampilan keempat skuad Harimau Selatan dalam saingan ACL selepas kali pertama beraksi secara automatik pada 2019.
Musim lalu, skuad kendalian Benjamin Mora menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan G, di belakang Nagoya Grampus dari Jepun dan naib juara Pohang Steelers dari Korea Selatan.