Liga Premier Malaysia Berita

XOX Berhad pemilik baharu Perak FC

Perak akhirnya bakal diambil alih secara rasmi apabila syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad diperkenalkan sebagai pemilik baharu kelab Liga Premier itu.

Pengambilalihan itu dibuat dengan jumlah RM100,000.

Ini sekali gus memberikan sinar baharu buat Perak yang dibelenggu masalah tunggakan gaji selepas diambil alih oleh Impact Media & Communication Sdn Bhd.

“Kini Perak FC sudah ada bakal pemilik,” kata CEO Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah kepada Harian Metro.

“Hari ini kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan XOX dan dalam tempoh 14 hari akan datang kita akan sekali lagi menandatangani perjanjian jual dan beli (sales and purchase agreement).

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di pejabat besar XOX di Tropicana, Petaling Jaya dan turut disaksikan CEO MFL, Stuart Ramalingam.

“Kira hari ini macam majlis bertunang, dan majlis akad nikah dalam 14 hari lagi. Tapi ini langkah terakhir dan perjanjian MoU ini menandakan Perak sudah ada pemilik baharu.”

XOX adalah sebuah syarikat telekomunikasi yang tersenarai dalam bursa saham Malaysia dan sering menjadi penaja dalam beberapa acara sukan termasuk bola sepak dan sukan permotoran.