Kerajaan negeri Perak membuat keputusan untuk menghadiahkan duit raya sebanyak RM1,000 kepada kesemua 50 pemain dan pegawai Perak sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.
Ini meskipun pasukan itu tidak lagi di bawah pengurusan kerajaan negeri.
“Kita menyumbang sedikit duit raya kepada 50 pemain dan pegawai Perak FC, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada Berita Harian.
“Ia adalah untuk sumbangan raya, yang mana kita memberi RM1,000 setiap seorang untuk perbelanjaan raya.”
Ketika ditanya mengenai tindakan penyokong yang mengumpul tandatangan untuk diserahkan kepada Sultan Perak, Saarani berkata ia perlu dibuat mengikut saluran betul.
“Saya tidak boleh menghalang hasrat penyokong bola untuk berbuat demikian. Cuma dia kena mengikut saluran yang betul. Hendak sampaikan itu (tandatangan yang dikumpul) perlu melalui Setiausaha Sulit Sultan Perak.
“Insya-Allah kalau warkah tersebut sampai kepada Tuanku Sultan, biasanya Tuanku akan membaca dan memberi perhatian sewajarnya.”
Perak masih berdepan dengan masalah tunggakan gaji yang serius sehingga penyokong mereka membuat kutipan derma di Stadium Perak minggu lalu.
Perak yang dimiliki oleh IMC kini dalam proses pertukaran pemilikan dengan JR Resources dan diberi tempoh hingga 29 April ini untuk menyelesaikan rundingan tersebut.
Perak hanya menang sekali dan tewas empat kali musim ini, berada di kedudukan tercorot Liga Premier dengan mengumpul mata negatif enam susulan hukuman MFL yang memotong sembilan mata pasukan itu kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji.