Farizal Marlias kini berada dalam keadaan stabil selepas terpaksa dibawa keluar ketika JDT mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Ini selepas penjaga gol berusia 35 tahun itu bertembung dengan rakan sepasukan Shane Lowry ketika cuba menyelamatkan hantaran lintang pemain tengah Terengganu, Syafik Ismail pada minit ke-61.
Ekoran pertembungan itu, Farizal didapati seakan tidak sedarkan diri dan terpaksa diusung keluar dan digantikan oleh Haziq Nadzli.
Selepas perlawanan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melawat Farizal Marlias di hospital.
“Farizal berada dalam keadaan stabil tetapi akan kekal dalam pemerhatian dan akan menjalani beberapa ujian perubatan.
“Seluruh Keluarga JDT mendoakan agar Farizal sembuh dengan segera. Semoga lekas sembuh, Farizal!” menurut kenyataan Johor Southern Tigers.
Farizal merupakan antara pemain JDT yang paling konsisten dari segi tahap kecergasan dan jarang mengalami kecederaan sepanjang kariernya.
Di sebalik itu, JDT meraih kemenangan 2-1 hasil dua gol tandukan Bergson da Silva yang menafikan gol penyamaan Kpah Sherman sekali gus membantu pasukan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam empat perlawanan dan terus menjadi pendahulu liga.