Liga Super Malaysia Berita

Sekali lagi jadi mangsa pengadil, Pahang hantar surat aduan kepada FAM

CEO Sri Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang sekali lagi menghantar surat aduan kepada FAM berhubung mutu pengadilan ketika pasukannya hanya terikat seri 1-1 dengan PJ City dua hari lalu.

Ini adalah surat aduan kedua yang dikemukakan kepada FAM selepas Pahang menuntut penggantungan pengadil berikutan kesilapan pengadil menyebabkan pasukan itu tewas 1-0 kepada Kedah di Stadium Darul Aman, Rabu lalu.

“Berdasarkan keputusan perlawanan tersebut, berlaku insiden yang dilakukan oleh pengadil dan penjaga garisan seperti berikut,” kata Suffian seperti dilaporkan Harian Metro.

“Jaringan oleh pemain PJ City, R Barathkumar yang diambil kira walaupun terdapat pemain PJ City, Khyril Muhymeen yang didapati terkena bola dan menghalang penjaga gol Sri Pahang dalam kedudukan ofsaid pada minit ke-85.

“Kedudukan ofsaid Khyril itu dianggap sebagai mencampuri, mengganggu dan mendapat keuntungan dari kedudukannya.

“Penjaga garisan telah mengangkat bendera mengisyaratkan ofsaid telah berlaku, walaubagaimanapun pengadil telah mengubah keputusan dan keputusan gol diberikan setelah provokasi dilakukan oleh beberapa pemain dan pegawai dari PJ City.

“Sehubungan itu, Sri Pahang berasa amat kesal dengan insiden yang sekali lagi berlaku kepada pasukan Sri Pahang dan kelemahan ini telah mengubah keputusan perlawanan yang sepatutnya.

“Justeru perkara ini telah mengakibatkan kerugian dan impak yang sangat besar kepada seluruh warga Sri Pahang.”

Jurulatih Pahang, Christophe Gamel turut terkilan dengan keputusan pengadil perlawanan.

“Perlawanan yang menarik, kita sepatutnya boleh menjaringkan beberapa lagi gol. Tapi sekali lagi malam ini, apabila pengadil kata ofsaid, ianya ofsaid, saya tidak pernah tengok mana-mana pengadil mengubah keputusan, ia kerana mereka (PJ City) memberi tekanan kepada dia.

“Peraturannya adalah jelas, apabila seseorang pemain membuat pergerakan atau mengganggu permainan, ianya ofsaid.

“Saya tak mahu bercakap lebih mengenai perkara ini sebab saya penat, ini kali kedua, dan saya pun faham bercakap banyak pun setiap kali situasi tidak menyebelahi kita.”