Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat keputusan untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Katanya, ia sebagai hadiah kepada gelanggang skuad Harimau Malaya itu.
Beliau menaja rumput jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, Johor.
“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia,” kata TMJ menerusi Johor Southern Tigers.
“Ini bagi memastikan Stadium Nasional mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa.”
Bagaimanapun, beliau meminta pihak berkuasa stadium untuk memastikan padang itu dijaga dengan rapi.
“Semua penggunaan bukan sukan hanya dilakukan jikalau langkah-langkah yang sesuai telah dilakukan bagi memastikan padang tersebut tidak rosak.”
TMJ juga menunjukkan beliau menandatangani cek penajaan tersebut.
“Pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac 2022, sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan Perbadanan Stadium Malaysia.
“Syarikat padang dan krew penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia untuk memulakan kerja,” menurut hantaran tersebut.
Kerja-kerja menggantikan rumput jenis cowgrass dengan kos RM10 juta dijangka siap Jun ini.
Kerja-kerja berkenaan turut merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput, dalam usaha memastikan stadium memiliki padang bertaraf antarabangsa.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti aksi menentang Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.