Liga Super Malaysia Berita

Matyo kembali ke Liga Super, sertai Melaka United

Norshahrul Idlan Talaha membuat kejutan apabila menandatangani kontrak bersama Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Ini bermakna, penyerang veteran berusia 35 tahun itu kembali ke Liga Super selepas dua tahun, apabila beliau berhijrah ke kelab Thailand, BG Pathum United pada 2020 dan menyertai kelab Liga Premier, Sarawak United tahun lalu.

“Melaka United FC dengan ingin mengumumkan pemain berpengalaman, Nurshahrul Idlan Talaha sebagai pemain terbaharu yang sah menyertai Skuad Hang Tuah, musim ini,” menurut media sosial rasmi Melaka United.

“Semoga dengan pengalaman yang dimiliki Nurshahrul bakal membantu Skuad Hang Tuah dalam memberikan cabaran dalam semua pertandingan Liga Malaysia musim ini.

“Selamat menyertai kami di Melaka United Mat Yo.”

Matyo memulakan karier profesionalnya pada 2003 bersama Perak namun beliau mula menempa nama dengan Kelantan di bawah kendalian B. Sathiananthan.

Beliau kemudian berhijrah ke JDT pada penghujung 2012 sebelum berpindah ke ATM pada 2015, Terengganu (2016), Felda United (2017), Pahang (2018), BG Pathum United (2020) dan Sarawak United (2021).

Matyo juga merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF Suzuki 2010, naib juara Piala AFF Suzuki 2014 dan naib juara Piala AFF Suzuki 2018.

Sepanjang kariernya, beliau meraih 11 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, Piala AFF dan Liga Thailand.