Piala Malaysia Berita

MKN tetap larang penyokong makan dan minum di stadium

Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk menolak permohonan MFL berhubung kebenaran makan dan minum di stadium serta tambahan kapasiti penonton bagi aksi final Piala Malaysia 2021.

CEO MFL, Stuart Ramalingam berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada hari ini.

“Melalui surat yang diterima oleh pihak MFL, KBS telah membentangkan permohonan tersebut bagi pertimbangan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bilangan 8 Tahun 2021 pada 16 November 2021.

“Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan yang aktiviti makan dan minum dalam kalangan penonton atau penyokong termasuk di kotak korporat (corporate box) adalah tidak dibenarkan.

“Seterusnya, kapasiti kehadiran penonton adalah kekal seperti ditetapkan di bawah standard operasi prosedur (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 laitu 50 peratus kapasiti tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).

“Ketetapan ini adalah dengan mengambil kira penilaian risiko semasa dan KBS akan memaklumkan kepada MFL sekiranya terdapat perubahan daripada semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, di sebalik keputusan itu, Stuart berkata, MFL dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk menyediakan satu tapak khas bagi penjaja kendera saji (Food Truck) di perkarangan stadium untuk memudahkan penonton makan dan minum sebelum masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir itu nanti.

“MFL terpaksa akur dengan keputusan MKN ini dan kami mendengar keluhan penonton yang berharap agar mereka dibenarkan makan dan minum di dalam stadium.

“Namun dengan larangan ini, pihak MFL akan berusaha untuk menyediakan kemudahan makan dan minum di luar stadium sebelum penonton masuk ke dalam stadium.

“MFL bersama PSM merancang untuk menyediakan tapak kepada penjaja ‘food truck’ di luar stadium untuk membolehkan penonton dapat makan dan minum dahulu sebelum menyaksikan perlawanan akhir itu nanti.”