Piala Malaysia Berita

Langgar SOP: MFL, Terengganu dikompaun RM10,000

MFL dan Terengganu masing-masing dikompaun RM10,000 selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kesalahan itu dilakukan dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 melibatkan pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 22 November lalu.

CEO MFL, Stuart Ramalingam berkata, keputusan kompaun itu dibuat selepas menerima kunjungan daripada wakil-wakil Kementerian Kesihatan di ibu pejabat MFL di Kelana Jaya hari ini.

Jelas Stuart, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menjalankan siasatan lanjut berkaitan pelanggaran SOP dan mendapati pasukan tuan rumah, Terengganu telah mengambil langkah antaranya menghadkan bilangan penonton seramai 20,000 orang (42.6 peratus) daripada kapasiti sebenar venue sebanyak 47,500 orang.

Bagaimanapun, katanya, JKNT mendapati Terengganu selaku penganjur telah gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton terutama berkaitan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna ketika kejohanan yang menyaksikan TFC seri 1-1 bertemu JDT pada aksi timbal balik pertama.

“Satu notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd dan MFL masing-masing dengan nilai RM10,000.

“MFL dan rakan kongsi liga akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada KKM di mana pelaksanaan pematuhan SOP ini adalah sangat penting dalam usaha mengekang rantaian pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun MFL selaku penganjur sangat kesal kerana beberapa insiden pelanggaran pematuhan SOP berlaku dalam kempen TM Piala Malaysia 2021 di mana kita seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dan saya berharap perkara seperti ini tidak akan kembali berulang di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Stuart juga tidak menolak kemungkinan pelanggaran pematuhan SOP daripada kalangan penyokong-penyokong bakal memberikan impak buruk kepada aksi final TM Piala Malaysia 2021 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2021.

Beliau bimbang kerajaan boleh menarik balik syarat kemasukan penonton untuk aksi final akan datang.

“Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam virus COVID-19.

“Jika perkara pelanggaran SOP masih berlaku di masa akan datang, MFL bimbang kemasukan penonton untuk aksi final TM Piala Malaysia dan saingan Liga Malaysia musim depan akan ditarik balik.

“Jadi, saya berharap penyokong-penyokong memiliki sentimen sayangkan bola sepak negara dan sentiasa mengikut peraturan atau pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Sekali lagi saya berharap insiden-insiden yang mengaitkan pelanggaran SOP tidak akan kembali berulang untuk aksi timbal balik kedua TM Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada malam esok.”