Piala Malaysia Berita

Penyokong ceroboh padang: KL City terpaksa beraksi tanpa penonton

Kuala Lumpur City dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada 22 November 2021.

Ini selepas berlaku insiden penyokong menceroboh padang selepas KL menewaskan Selangor 1-0 dengan 3-0 secara agregat di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, KL telah bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Stuart menjelaskan, insiden yang berlaku itu telah melanggar peraturan MFL berkaitan peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.

Katanya, insiden itu juga menyaksikan pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong telah dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.

“MFL telah menerima laporan bahawa ada sebahagian penyokong telah melompat pagar dari tempat duduk penonton dan berlari ke arah padang untuk meraikan kemenangan bersama pasukan.

“Sehubungan itu, pasukan tuan rumah telah didapati bersalah kerana melanggar Peraturan SOP Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia; Bahagian 3 (v) SOP dan melanggar Manual Liga Malaysia 2021; Artikel 4.7.2.”

Sementara itu, Stuart turut mengumumkan keputusan insiden penyokong memasuki kawasan padang ketika melibatkan perlawanan Selangor dan Terengganu pada peringkat Kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 7 November 2021.

“Sekretariat MFL telah menerima laporan bahawa beberapa pemain Terengganu FC tidak mengekalkan penjarakan sosial dengan penyokong dan telah berlari ke arah penyokong untuk meraihkan gol kedua Terengganu.

“Beberapa penyokong turut didapati telah melompat pagar dari tempat duduk penyokong dan pergi ke arah padang untuk meraikan gol dengan pemain Terengganu FC. Terengganu FC telah melanggar Bahagian 3(v) SOP Kemasukan Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia 2021, yang menyatakan bahawa penonton hendaklah mengekalkan penjarakan fizikal.

“Sekretariat MFL turut mendapati Terengganu FC telah melanggar Klausa 4.7.2(i) (f) (5) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Terengganu FC diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat.”