Pasukan Petugas Khas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersidang buat kali kedua di Wisma FAM pada Jumaat lalu.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sidang itu memperhalusi maklum balas ahli berhubung perkembangan pasukan kebangsaan ketika ini.
“Ini termasuk idea-idea membabitkan kriteria pemilihan pemain naturalisasi,” menurut kenyataan FAM.
“Budaya prestasi tinggi, penerapan DNA bola sepak negara mengikut sosio-budaya sedia ada, mewujudkan kod etika dan mempromosi nilai-nilai murni menerusi bola sepak serta langkah-langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi mendepani cabaran melayakkan diri ke pelbagai kejohanan peringkat serantau, benua dan global.”
Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat kedua ini juga menumpukan kepada elemen-elemen yang diperlukan bagi memperkasakan prestasi pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur dan tidak terhad kepada cabang bola sepak.
“Kami membincangkan hala tuju pasukan kebangsaan sama ada senior, pasukan pelapis, bola sepak wanita, futsal lelaki dan wanita mahupun bola sepak pantai.
“FAM menghargai maklum balas dan idea-idea daripada semua ahli PTF dalam membawa dimensi baharu dari segi percambahan idea serta sama ada idea-idea terbabit ada unsur kebolehlaksanaan yang tinggi.”
Turut dibincangkan ialah kaedah pemilihan pemain, pendidikan kejurulatihan yang lebih menyeluruh, pendedahan luar negara serta program tindik dengan pasukan luar dan pembabitan ahli gabungan FAM.
Elemen pasukan kebangsaan adalah topik pertama dibincangkan sebagai sebahagian daripada enam elemen utama yang menjadi terma rujukan PTF, iaitu Pasukan Kebangsaan, Pembangunan Akar Umbi dan Remaja, Pendidikan Kejurulatihan dan Prestasi Tinggi, Bola sepak Wanita, Futsal dan Bola Sepak Pantai, Pertandingan serta Tadbir Urus dan Kelestarian Kewangan.
Barisan ahli Pasukan Petugas Khas Presiden FAM
-Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Ruzain Idris
-Bekas Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Datuk Ee Hong
-Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian
-Pensyarah kanan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Bahrin Othman
-CEO Berjaya Corporation Berhad, Abdul Jalil Abdul Rasheed
-CEO Bank Muamalat Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin
-Wakil penyokong, Muhammad Tarmizi Abdul Aziz
-Wakil media, Ooi Kin Fai
-Tengku Indera Bijaya Diraja Selangor, Tengku Salehuddin Shah Tengku Sulaiman Shah
Hadir sama
Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam FAM, Chris Raj
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar