Malaysia Berita

Skuad Harimau Malaya turut serta dalam misi selamatkan Harimau Malaya

Sebahagian hasil kutipan tiket kemasukan penonton bagi perlawanan skuad kebangsaan Malaysia akan disumbangkan kepada tabung bagi menyelamatkan Harimau Malaya daripada diancam kepupusan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

“Pada 28 Oktober, kita akan buat MoU dengan pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya,” kata beliau.

“Kita sudah berhubung dengan FAM untuk sama-sama menyelamatkan Harimau Malaya, dengan beberapa peratus daripada gate collection di stadium mungkin disumbangkan kepada tabung untuk selamatkan Harimau Malaya.”

Katanya, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan setelah kajian harimau kebangsaan pertama yang dilaksanakan oleh Perhilitan pada 2016 hingga 2020 mendapati populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi berada pada tahap amat membimbangkan.

“Kajian mendapati bahawa kita mempunyai tidak lebih dari 200 ekor sahaja Harimau Malaya. Kita bimbang kalau tak menjaga mereka, Harimau Malaya hanya tinggal pada jata persekutuan dan nama pasukan bola sepak sahaja.

“Kehilangan di habitat semula jadi, menyebabkan ia akan tinggal di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Kita berada dalam krisis kehilangan spesis ikonik negara buat selama-lamanya.

“Oleh sebab itu, menyedari hakikat ini, jemaah menteri pada 16 Jun 2021, mengambil langkah tindakan strategik konservasi bagi tempoh 10 tahun melalui tiga pendekatan iaitu mengukuhkan usaha menghentikan populasi, meningkatkan tadbir urus baik keberkesanaan dalam melaksanakan konservasi.

“Malah, satu taskforce ditubuhkan atau pasukan petugas kebangsaan bagi konservasi Harimau Malaya, dengan Perdana Menteri menjadi pengerusi.

“Di samping itu, kita ada jawatankuasa MyTWG yang dipengerusikan oleh saya, dengan ahli-ahlinya semua exco-exco kerajaan yang bertanggungjawab dari segi alam sekitar dan hidupan liar.”