Barcelona membuat keputusan untuk memecat jurulatihnya, Ronald Koeman berikutan kekalahan 1-0 kepada Rayo Vallecano dalam saingan LaLiga pagi tadi, kekalahan ketiga dalam empat perlawanan terakhir.
Presiden Barcelona, Joan Laporta memaklumkan kepadanya keputusan itu selepas kekalahan tersebut.
“FC Barcelona telah melepaskan Ronald Koeman daripada tugasnya sebagai jurulatih pasukan utama.
“Koeman mengucapkan selamat tinggal kepada skuad pada hari Khamis di Ciutat Esportiva. FC Barcelona mengucapkan terima kasih atas khidmatnya kepada kelab dan mendoakan yang terbaik dalam karier profesionalnya.”
Berikutan pemecatan, Barcelona dijangka membuka rundingan dengan Xavi pada hari Jumaat mengenai kekosongan itu, dengan bekas kapten kelab dan pengurus Al Sadd itu kini menjadi pilihan pertama.
Selain Xavi, jurulatih Belgium Roberto Martinez merupakan antara calon Barca.
Bagaimanapun, Barca dijangka tidak akan melantik jurulatih baharu sehingga selepas tempoh rehat untuk perlawanan antarabangsa pada bulan depan.
Jurulatih sementara akan mengendalikan tiga perlawanan seterusnya iaitu menentang Alaves, Dynamo Kiev dan Celta Vigo.
Kedudukan Koeman berada dalam keadaan bahaya selepas keputusan buruk apabila mencatatkan kekalahan berturut-turut menentang Real Madrid dan Rayo minggu ini yang terbukti menjadi faktor pemecatan itu.
Koeman meninggalkan Barca di tempat ke-9 dalam liga dan dalam bahaya untuk tersingkir dari pusingan kalah mat Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, apabila mereka masih belum mencatatkan kemenangan di tempat lawan dalam mana-mana pertandingan musim ini.
“(Berada di tempat ke-9 dalam LaLiga) adalah tidak bagus,” kata Koeman selepas kalah pagi tadi, hasil jaringan tunggal penyerang Rayo, Radamel Falcao.
“Ia menunjukkan tahap pasukan telah merosot, dari segi keseimbangan dalam skuad. Kami telah kehilangan pemain penyudah. Saya fikir dalam beberapa tahun kebelakangan ini pasukan di bahagian atas semakin kuat dan kami tidak berbuat demikian.”
Ditanya sama ada keputusan itu meletakkan kedudukannya dalam bahaya, beberapa jam sebelum dia dipecat, Koeman berkata “Saya tidak tahu.”
Koeman telah dilantik oleh presiden terdahulu, Josep Maria Bartomeu, 13 bulan lalu, bagi menggantikan Quique Setien selepas Barca tewas 8-2 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara pada Ogos 2020.
Beliau meninggalkan kedudukannya sebagai jurulatih Belanda, dengan membayar pampasan Persatuan Bola Sepak Belanda dari duit poketnya sendiri, untuk mengambil apa yang dikatakannya sebagai “pekerjaan impiannya.”
Dalam musim pertamanya, beliau membantu Barca menjuarai Copa del Rey dan menduduki tempat ketiga dalam LaLiga, namun disingkirkan oleh PSG dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara.
Namun, musim ini, kecederaan jangka panjang kepada Ansu Fati, Ousmane Dembele, Philippe Coutinho dan Sergio Aguero, antara lain, telah menyukarkan pemilihan pasukannya, manakala kelab itu juga terpaksa mengurangkan tanggungan gaji secara mendadak sepanjang tempoh perkhidmatannya untuk menangani masalah kewangan mereka.
Luis Suarez, Arturo Vidal dan Ivan Rakitic semuanya meninggalkan Barca selepas kekalahan 8-2 menentang Bayern, dengan diikuti Lionel Messi dan Antoine Griezmann yang keluar daripada kelab semasa musim panas.
Koeman turut menyifatkan pemergian Messi menyukarkan tugasnya, apabila beliau berkata pemain bintang itu berjaya menyembunyikan kelemahan pasukan dan bertanggungjawab menjadikan pemain di sekelilingnya beraksi lebih baik.
Untuk menggantikan pemain yang meninggalkan Barca, Koeman berdepan hutang kelab yang mencecah sekitar €1.4 bilion. Semua pemain yang masuk seperti Memphis dan Aguero telah ditandatangani secara percuma.
Disebabkan itu, Koeman telah beralih kepada pemain muda. Ronald Araujo, Oscar Mingueza dan Pedri berjaya menembusi pasukan utama musim lalu, dengan Alejandro Balde, Gavi, Nico Gonzalez dan Yusuf Demir semuanya diberi peluang setakat musim ini.