Malaysia Berita

Pengadil Malaysia dilantik sebagai pengadil utama bagi final Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021

Saat membanggakan buat Malaysia apabila Suhaimi Mat Hassan telah dilantik sebagai pengadil utama bagi aksi Final Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021 antara tuan rumah, Russia dan Jepun di Luzhniki Beach Soccer Arena, Moscow, 12.30 tengah malam ini.

Suhaimi, 45, yang berasal dari Kampung Lembah di Semerak, Pasir Putih, Kelantan dan merupakan guru sekolah di Dungun, Terengganu akan dibantu oleh Sofien Benchabane dari Perancis sebagai pengadil kedua, Gionni Matticoli dari Itali sebagai pengadil ketiga, Hany Farouk dari Mesir sebagai penjaga masa dan Turki Al Salehi dari Oman sebagai pengadil simpanan.

Suhaimi juga merupakan antara empat pengadil dari Asia pada edisi kali ini telah menjadi pengadil utama bagi perlawanan Kumpulan C, Belarus menentang El Salvador serta sebagai pengadil kedua bagi perlawanan Kumpulan D, Portugal bertemu Senegal dan perlawanan Kumpulan C, El Salvador lawan Switzerland sejak kejohanan berlangsung pada 19 Ogos lalu.

Beliau turut bertugas sebagai pengadil ketiga pada aksi suku akhir di antara Senegal dan Brazil.

Ini merupakan pentas Piala Dunia Bola Sepak Pantai kali kelima buat Suhaimi yang sebelum ini telah mengadili empat edisi Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada tahun 2011 di Itali, 2013 di Tahiti, 2015 di Portugal dan 2019 di Paraguay.

Pada edisi 2019 itu juga beliau terpilih bertugas pada aksi final antara Itali dan Portugal sebagai pengadil simpanan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut sama mengucapkan tahniah kepada Suhaimi dan berharap agar beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik dalam mengendalikan aksi final nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram melihat ia sebagai satu pengiktirafan kepada pengadil dari Malaysia dan juga pencapaian terbaik secara peribadi yang mampu meningkatkan lagi profil Suhaimi dalam bidang pengadilan.