Liga Super Malaysia Berita

Gagal cari pengganti sesuai, Chong Yee Fatt kembali kendalikan Perak

Pengurus Besar Perak, Azman Noh mengesahkan bahawa pihaknya akan kembali menggunakan khidmat Chong Yee Fatt selepas tempoh rehat yang diberikan selama 14 hari telah pun tamat.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas gagal untuk mencari pengganti sesuai dan mempunyai lesen kejurulatihan kelas A, seperti ditetapkan oleh MFL.

“Kita juga telah maklumkan keputusan ini kepada Yee Fatt dalam perbincangan pada 16 Ogos yang lalu di pejabat Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun Azman berkata, walaupun Yee Fatt masih mempunyai kontrak sehingga penghujung November 2022, ia tidak bermakna beliau akan kekal bersama The Bos Gaurus pada musim hadapan.

“Kita belum buat ketetapan. Apa-apa pun pihak pengurusan kena berbincang semula, dan kita akan menilai secara khusus berdasarkan prestasi Perak dalam liga pada musim ini.”

Azman berharap Yee Fatt dapat melakukan keajaiban dalam tiga lagi baki perlawanan yang perlu diharungi Perak dalam misi untuk kekal di Liga Super pada musim depan.

“Misi kekal dalam liga ini memang sukar pada ketika ini, tetapi ia bukan satu perkara yang mustahil untuk dilakukan jika semua pihak kekal positif dalam merencana strategi.”

Pada 2 Ogos lalu, Perak mengambil keputusan merehatkan Yee Fatt selepas gagal mencatatkan kemenangan dalam 4 perlawanan.

Tugasnya diambil oleh penolong jurulatih, Mohd Shahril Nizam Khalil, bermula dengan perlawanan menentang Pulau Pinang pada 3 Ogos lalu.

Namun, Perak mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut selepas itu apabila tewas kepada Pulau Pinang 5-3, UiTM FC 2-0 dan Selangor 3-0.

Perak kini mencatatkan 12 kekalahan pada musim ini, dengan mencatatkan 4 kekalahan berturut-turut dan mengharungi 7 perlawanan tanpa kemenangan.

The Bos Gaurus kini menduduki tangga ke-11, tangga kedua tercorot liga dengan 13 mata daripada 19 perlawanan, dibezakan 4 mata dengan Pahang yang mempunyai 17 mata.